Tujuh pegawai polis didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas 3 pertuduhan cuba dan memperoleh rasuah daripada seorang lelaki membabitkan RM17,000 tahun lepas.
Bagi pertuduhan pertama, ASP Muharishanizam Abas, Inspektor Mohd Edzrin Ferdini Mansor dan Koperal Low Guo Tzong yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, serta Sarjan Harun Ahmad, Lans Koperal Mohammad Amirul Akmal Mohamad Khir dan Lans Koperal Muhammad Azman Mohd Azhari dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan didakwa secara rasuah cuba untuk memperoleh suapan wang RM10,000 daripada Ong Poo Huat.
Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Ong yang disyaki memiliki dadah jenis heroin yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Bagi pertuduhan ke-2, keenam-enam tertuduh itu didakwa secara rasuah memperoleh suapan wang RM4,000 daripada mangsa sama bagi tujuan yang sama.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di No 17 dan 19, Lorong Belatuk 6, Taman Belatuk, Nibong Tebal, di Butterworth antara jam 5.40 hingga 7 malam, 13 Januari tahun lepas.
Sementara itu, bagi pertuduhan ke-3, keenam-enam tertuduh bersama seorang lagi pegawai polis Koperal Zambri Nordin juga dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Seberang Perai Selatan didakwa secara rasuah memperoleh suapan terhadap Ong bagi tujuan sama di tempat yang sama pada jam 5 petang, 17 Januari tahun lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda,tidak kurang 5 kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Ahmad Ghazali Muhamad Nazdri menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Hakim Julie Lack Abdullah membenarkan Muharishanizam dan Edzrin Ferdini diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin manakala 5 lagi tertuduh turut dibenarkan jaminan masing-masing RM5,000 berserta seorang penjamin. – Bernama, 4 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments