Semua 9 ahli Gerakan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) bahagian Teluk Kemang yang dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Umno digantung hak menyertai pemilihan parti, sama ada untuk memilih atau dipilih, selama 6 tahun, kata jurucakapnya Datuk Mohamad Zain Mustapa.
Ketua Umno cawangan Taman Datuk Haji Abdul Samad itu berkata, keputusan Lembaga Disiplin Umno itu diterima mereka pada 3 Disember.
Ia memaklumkan tindakan penggantungan berkenaan berkuat kuasa pada 2 Disember, hari yang sama ketika mereka dipanggil jawatankuasa disiplin parti.
"Ini jelas menunjukkan demokrasi sudah mati di dalam Umno apabila kepentingan peribadi diletakkan atas kepentingan parti. Inilah hasilnya.
"Dengan jelas tindakan ini diambil bagi menutup mulut kami daripada menyuarakan perkara yang benar berkenaan Umno," katanya pada satu sidang media di lobi Menara Dato' Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
"Di manakah 'gentlemen' presiden sehingga orang yang mengkritiknya perlu dihukum seperti kami?" soalnya.
Zain menggelar Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak sebagai "perosak Umno" kerana mereka yang mengkritiknya akan dijadikan lawan politiknya.
"Penggantungan kami ini adalah satu usaha untuk menafikan kebenaran. Kami bersuara kerana kami meluahkan perasaan rakyat, yang mana kehidupan mereka begitu tertekan dan suara mereka tidak didengari.
"Sesuatu perlu dilakukan. Jika setiap yang bersuara dikenakan tindakan, kemakmuran negara pasti akan terjejas."
Beliau turut berkata, tindakan yang dilakukan Umno semenjak kebelakangan ini juga bersikap tertutup.
"Kuasa autokratik digunakan untuk menggerakkan Umno," katanya. – 11 Disember, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments