Wakil rakyat Selangor Haniza Mohamed Talha, yang dipanggil polis memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana mempertikaikan peruntukan bagi Program Permata Negara (Permata), menafikan mengaitkan perkara itu dengan isteri perdana menteri.
Katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider, beliau hanya menyebut mengenai peruntukan besar yang diterima Permata iaitu sebanyak RM711 juta dan menyifatkannya tidak wajar ketika Putrajaya waktu itu baru mengumumkan potongan subsidi minyak.
"Dia (polis) ingat saya kata Rosmah (Datin Seri Rosmah Mansor) terima RM711 juta, sebenarnya saya tak sebut Rosmah terima.
"Saya hanya sebut Permata terima peruntukan yang besar," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR Taman Medan itu.
Haniza merupakan pemimpin pembangkang pertama disiasat mengikut Akta Hasutan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memutuskan akta penjajah itu dikekalkan walaupun pernah berjanji memansuhkannya dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional.
Haniza (gambar, kanan) menerima notis memintanya menghadiri siasatan berkaitan kes hasutan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 9 pagi, 8 Disember, Isnin ini.
Katanya, pihaknya difahamkan, siasatan itu berkaitan artikel "Subsidi dipotong demi Permata Rosmah RM711 juta" yang disiarkan dalam portal lidah rasmi PKR, Keadilandaily pada 12 Oktober lalu.
Bekas Timbalan Speaker Selangor itu dalam artikel terbabit mempersoalkan jumlah besar yang diperuntukkan kepada Permata, di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), dalam Bajet 2015.
Katanya, ia tidak wajar kerana kerajaan sehingga kini tidak dapat membuktikan keberkesanan program itu walaupun menerima peruntukan besar setiap tahun.
Tambahan pula, kata Timbalan Ketua Wanita PKR itu, peruntukan itu dibuat ketika Putrajaya baru mengumumkan potongan subsidi minyak 20 sen seliter yang memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat.
Haniza bagaimanapun berkata, beliau akan bekerjasama penuh dan hadir memberi keterangan di ibu pejabat polis tersebut seperti diarahkan.
"Saya tak buat apa-apa kesalahan pun, hanya minta kerajaan bersikap telus," katanya mempertahankan kenyataannya sebagai tidak melanggar sebarang undang-undang kesalahan jenayah.
Katanya, tindakan Putrajaya tersebut membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) terus menyalahgunakan kuasa melalui Akta Hasutan bertujuan menekan dan menyekat suara demokrasi rakyat apabila berasa terancam.
Badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin pada 13 Oktober membuat laporan polis di IPD Petaling Jaya mendesak polis mengambil tindakan tegas terhadap Haniza kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah itu.
Pengerusinya, Ramesh Rao dipetik Sinar Harian berkata, kenyataan itu berunsur fitnah dan boleh mendatangkan sentimen kebencian.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan menafikan jumlah itu diberikan sepenuhnya kepada Permata, sebaliknya dikongsi bersama agensi lain termasuk Kementerian Pendidikan, Tadika Kemas dan Tadika Perpaduan. – 6 Disember, 2014.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments