Bahasa

Agensi penarafan tidak beri penarafan sewajarnya, kata Zeti

Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata Bank Negara Malaysia menerusi pemantauan dan pengawasan, perlu mempelbagaikan rizabnya dalam Asean. – Gambar  fail The Malaysian Insider, 11 Mac, 2016.Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata Bank Negara Malaysia menerusi pemantauan dan pengawasan, perlu mempelbagaikan rizabnya dalam Asean. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Mac, 2016.Bank Negara Malaysia (BNM) adalah antara bank pusat pertama yang mempelbagaikan rizab asingnya ke dalam instrumen dari rantau Asean, kata Gabenor Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini.

Namun begitu usaha penting berkenaan tidak diambil kira  agensi penarafan, katanya.

"Bank Negara adalah antara bank pusat pertama yang mempelbagaikan rizabnya ke dalam instrumen dari rantau ini kerana kita merasakan kita tahu rantau ini walaupun agensi penarafan tidak memberikan penarafan yang kita rasakan kita berhak," kata beliau pada Forum Global Wharton 2016.

Zeti kemudian menjelaskan kenyataan itu merujuk kepada tindakan yang diambil agensi penarafan semasa krisis kewangan Asia.

"Semasa krisis kewangan Asia, mereka menurunkan (penarafan) kita sebanyak 2 mata, saya rasa tidak patut kita diberikan demikian pada masa itu.

"Kemudian kita terus ke pasaran pada 1999 dan terlibat secara langsung dengan pelabur. Kita dapat menerbitkan bon pada Mei 1999 yang terlebih langgan sebanyak 3.5 kali dan harga dalam julat yang dijangka. Maka ia tidak mencerminkan apa agensi penarafan lakukan dengan menurunkan kita sebanyak 2 mata," katanya.

Beliau berkata BNM, menerusi pemantauan dan pengawasan, berpendapat ia juga perlu mempelbagaikan rizabnya dalam Asean.

"Dan ini bukan saja mengurangkan kedudukan mudah terdedah kita kepada perkembangan luaran tetapi akan menyumbang ke arah mencapai keadaan yang lebih stabil dalam pasaran kewangan serantau," katanya.

Masa depan Asean perlu dibina di atas tindakan bersama untuk kemajuan di rantau ini, manakala kerjasama serantau dalam pengawasan, jaringan keselamatan kewangan dan pengurusan krisis adalah penting, katanya.

"Kita tidak mahu menunggu krisis lain yang kita semua alami pada  1997-1998 yang kita berjaya menguruskannya secara sendiri," katanya.

Zeti, terkenal dengan dasar futuristik, berkata terdapat banyak lagi yang perlu dilakukan untuk integrasi kewangan lebih luas di rantau ini.

"Integrasi kewangan di rantau ini tidak mencapai kemajuan yang ketara. Ekonomi Asean bagaimanapun mencapai peringkat pembangunan di mana lebih banyak integrasi kewangan serantau boleh dimanfaatkan pertumbuhannya," kata beliau.

Mengenai masa depan, usaha untuk integrasi kewangan serantau adalah sesuatu yang sedang dilaksanakan bank-bank pusat Asean.

"Ia bagi membawa lebih banyak dana perantara yang lebih berkesan, membawa   lebihan daripada satu negara dan menyalurkannya kepada pelaburan yang produktif di negara lain.

"Rantau Asean, antara yang mempunyai kadar simpanan tertinggi di dunia, berpotensi besar untuk memenuhi beberapa keperluan pembiayaan, seperti projek-projek pelaburan besar atau pembangunan infrastruktur.

Integrasi kewangan akan memudahkan penyaluran dana daripada negara yang mempunyai lebihan kepada pelaburan yang produktif di rantau ini.

Ia juga akan membolehkan kepelbagaian risiko aset yang lebih cekap untuk melibatkan aset asing di rantau ini, seperti langkah Bank Negara untuk mempelbagaikan rizabnya, kata Zeti. – Bernama, 11 Mac,  2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments