Kementerian Sumber Manusia digesa menjenamakan semula pekerjaan yang dikategorikan sebagai 3D iaitu kotor, sukar dan merbahaya bagi menarik minat golongan muda tempatan menceburkan diri di dalamnya, lapor Utusan Malaysia hari ini.
Pengarah Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara Profesor Dr Ahmad Nurulazam Md Zain dilaporkan berkata, penjenamaan semula itu akan mengubah persepsi terhadap pekerjaan tersebut.
"Satu cabaran besar untuk kita mengubah mentaliti dan persepsi masyarakat terhadap pekerjaan ini, tetapi itulah yang perlu dilakukan untuk menarik belia kita.
"Kita perlu kreatif, contohnya ubah nama 'pembersih bangunan' kepada 'jurutera kebersihan' dan sebagainya," beliau dipetik berkata.
Sektor pekerjaan itu hangat diperkatakan orang ramai selepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyebutnya sewaktu mewajarkan hasrat kerajaan membawa masuk 1.5 juta warga Bangladesh dalam tempoh 3 tahun untuk bekerja di negara ini.
Rancangan itu bagaimanapun ditangguhkan selepas timbul bantahan dan kritikan orang ramai walaupun perjanjian sudah ditandatangani antara Putrajaya dan Dhaka.
Sementara itu, akhbar sama melaporkan, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian menggesa kerajaan mengkaji sebab di sebalik minat belia Malaysia melakukan pekerjaan sama di Singapura. – 22 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments