Bahasa

Ahli Dewan Rakyat bertafakur peringati tragedi MH370

Bersempena genap 2 tahun tragedi kehilangan pesawat MH370 yang membawa bersama 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac 2014, Dewan Rakyat hari ini memulakan sidang dengan bertafakur  selama seminit. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Mac 2016.	Bersempena genap 2 tahun tragedi kehilangan pesawat MH370 yang membawa bersama 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac 2014, Dewan Rakyat hari ini memulakan sidang dengan bertafakur selama seminit. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Mac 2016. Ahli Dewan Rakyat hari ini meluangkan masa selama seminit bertafakur untuk memperingati genap 2 tahun tragedi kehilangan pesawat MH370 yang membawa bersama 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac 2014.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika memulakan  sidang Parlimen hari ini meminta wakil rakyat yang beragama Islam untuk membaca surah Al-Fatihah manakala ahli Parlimen bukan beragama Islam untuk bertafakur.

Menurut beliau, misi pencarian 3 negara iaitu Malaysia, Australia dan China kini memasuki fasa ke-2 di kawasan seluas 120,000 km persegi di selatan Lautan Hindi.

"Kehilangan pesawat MH370 yang membawa bersama 239 penumpang dan anak kapal kini genap 2 tahun. Kerajaan Malaysia, Australia dan China terus komited dalam misi pencarian pesawat berkenaan," katanya.

Menurut beliau, tragedi kehilangan MH370 merupakan tragedi menyayat hati dan menyentuh hati rakyat Malaysia.

"Dewan berharap semua waris penumpang dan anak kapal MH370 sentiasa tabah dan cekal dalam hadapi ujian dan menerima ketentuan ini. Kita berdoa agar Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh.

Ingatan kita sentiasa bersama waris dan ahli keluarga penumpang dan anak kapal MH370," katanya sambil menambah misi pencarian diharap berjaya dan dapat merungkai misteri kehilangan pesawat itu.

Pesawat MH370 hilang daripada imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan masih belum dijumpai hingga kini walaupun selepas operasi pencarian besar-besaran dijalankan di selatan Lautan Hindi, tempat ia dipercayai berakhir selepas melencong daripada laluan asal.

Pada 29 Julai tahun lepas, satu penemuan yang disahkan sebagai serpihan 'flaperon' milik pesawat malang itu dijumpai di Pulau La Reunion, di perairan Madagascar.

Pada awal bulan ini, satu lagi penemuan serpihan objek dipercayai milik pesawat Boeing 777 dilapor ditemui di perairan Mozambique manakala terbaharu kelmarin satu lagi serpihan ditemui di Pulau La Reunion, yang juga dikaitkan dengan pesawat MH370. – Bernama, 8 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments