Bahasa

Akta Hasutan kekal, kata Najib

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak ketika tiba di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, pagi tadi bagi merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2014. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 27 November, 2014.Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak ketika tiba di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, pagi tadi bagi merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2014. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 27 November, 2014.Di sebalik janji untuk memansuhkan Akta Hasutan, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata akta itu akan terus dikekalkan. 

Beliau berkata, akta itu akan diperkukuh dengan menambah peruntukan khas untuk melindungi kesucian agama Islam dan agama lain serta mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menuntut pemisahan Sabah dan Sarawak dari Malaysia. 

"Sebagai perdana menteri, saya memutuskan Akta Hasutan akan terus dikekalkan, malah akta ini akan dipertahan dan diperkukuhkan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini. 

"Akta ini akan dikuatkuasakan secara adil supaya kita benar-benar mewujudkan Malaysia yang lebih aman, stabil dan harmoni," katanya lagi.

Najib berkata, Akta Hasutan akan terus dikekalkan selepas dipertimbangkan dan mendapat nasihat semua pihak walaupun pernah berjanji sebelum ini untuk memansuhkan akta penjajah tersebut.

"Setelah saya dengar pandangan pemuda dan puteri, akar umbi dan NGO, saya mengumumkan Akta Hasutan akan terus dikekalkan," katanya.

Najib pada 11 Julai 2012 berkata, Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional sebagai sebahagian daripada program transformasi kerajaan.

Dengan keputusan terbaru itu, beliau mengatakan hari ini, ia juga bererti, "apa-apa jua perkataan, perbuatan mahupun ucapan yang bersifat menghasut serta menghina Islam, Melayu dan Raja-Raja akan kita halang dan kita tentang habis-habisan."

Perdana menteri turut memberi jaminan akan tetap membela perjuangan masyarakat Melayu dan berjuang bagi mengelakkan Melayu terbangsat di bumi sendiri.

"Ketahuilah, saya berdiri di sini, tidak sama sekali sekadar perdana menteri, saya juga berdiri di hadapan ini, bukan setakat presiden Umno, tetapi saya berdiri dan berbicara di hadapan saudara sekalian, sebagai penyambung lidah dan warisan perjuangan Melayu Bumiputera.

"Dari itu, mana mungkin, saya sanggup membiarkan keturunan dan bangsa saya melarat, terhina, hingga terbangsat menjadi celaka di tanah sendiri," katanya.

"Berkait itu, saya akan terus komited dalam memperjuangkan nasib kaum Melayu dan Bumiputera. Bukan sekadar di bibir, tetapi saya dan rakan-rakan dalam parti serta kerajaan, melakukan segala yang termampu untuk membuktikannya."

Komitmen itu katanya, akan ditunjukkan bersama rakan-rakan pimpinan dengan komitmen untuk bersidang sekurang-kurangnya sekali setiap bulan demi menjamin hala tuju dan agenda pemerkasaan ekonomi Melayu serta Bumiputera diteruskan.

"Bahkan, kita akan menunaikan setiap apa yang dijanjikan semasa ucapan saya di Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) tahun lepas, satu persatu," katanya merujuk ucapan beliau pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di UiTM Shah Alam pada September tahun lepas.

"Sesungguhnya kerajaan Barisan Nasional (BN) tunjangan Umno adalah kerajaan yang menepati janji." – 27 November, 2014.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments