Anak kepada ibu beragama Hindu, S Deepa sepatutnya boleh memilih agama apa yang mahu dianuti apabila dewasa kelak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, lapor The Star hari ini.
Akhbar harian berbahasa Inggeris itu melaporkan Nancy sebagai berkata, kebajikan anak lebih utama, dan kanak-kanak itu perlukan ibu mereka, terutama sekarang ketika masih kecil.
Rabu lalu, Mahkamah Persekutuan memberikan hak jagaan anak lelaki Deepa kepada suaminya, mualaf Izwan Abdullah sementara anak perempuan Sharmila diberikan kepadanya.
Izwan menukar agama semua anaknya kepada Islam tanpa persetujuan Deepa dan menculik anak lelaki mereka, Mithran selepas Mahkamah Tinggi Seremban memberikan hak penjagaan kedua-dua anak kepada Deepa pada April, 2014.
Nancy dipetik sebagai berkata, ketika kes itu mula mendapat perhatian, beliau sudah menasihatkan pihak berkuasa supaya memikirkan kebajikan anak berkenaan terlebih dulu.
Beliau berkata, idea supaya perbalahan itu didengar pihak ketiga adalah baik, ketika ditanya pandangannya mengenai cadangan Persatuan Peguam Islam untuk menubuhkan tribunal bagi menyelesaikan masalah hak jagaan itu.
“Saya bekerja dengan kementerian menjaga hal ehwal Islam.
“Saya sudah berbincang perkara ini dengan peguam negara. Beliau sudah melakukan sesuatu mengenainya. Ia mengenai pertukaran agama dan hak jagaan anak tetapi ia bukan saja undang-undang sivil dan Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian).
“Ia juga mengenai undang-undang syariah untuk Wilayah Persekutuan.
“Perkara itu perlu dibentangkan di Parlimen sekarang.”
Nancy juga mendesak badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit terus bercakap mengenainya supaya pihak berkuasa mendengarnya.
“Biar pihak berkuasa dengar apa yang anda cakap. Saya juga bekerjasama dengan pihak berkuasa mengenai hal perundangan. Anak perlukan ibunya. Fikirlah kebajikan anak itu,” katanya dipetik sebagai berkata dalam laporan itu. – 15 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments