Bahasa

Ancaman Isis umpama bom jangka tunggu meletup, kata Zamihan

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia Zamihan Mat Zin Al-Ghari berkata ancaman militan Negara Islam Iraq dan Syria kini mencapai peringkat kritikal sama seperti barah tahap 3. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Februari, 2016.Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia Zamihan Mat Zin Al-Ghari berkata ancaman militan Negara Islam Iraq dan Syria kini mencapai peringkat kritikal sama seperti barah tahap 3. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Februari, 2016.Pegawai agama kerajaan Zamihan Mat Zin Al-Ghari berkata, Putrajaya perlu melipatgandakan usaha menangani ancaman daripada militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis), mengatakan ia kini mencapai peringkat “kritikal” sama seperti barah tahap 3.

“Ia seperti bom jangka sedia untuk meletup jika langkah sewajarnya tidak diambil untuk menangkis dan menghapus pengaruh mereka yang bersimpati dalam negara ini,” katanya.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (Aswaja) itu, yang turut terbabit dengan program pemulihan bagi suspek militan dan mereka yang bersimpati dengan pengganas, berkata salah satu tindakan yang boleh kerajaan lakukan ialah menubuhkan Pusat Menangkis Ideologi Naratif, sama seperti di UAE dan Dubai.

“Di UAE mereka ada pusat Sawab, mereka ada Pusat Penyelidikan Kalam dan di Dubai, mereka ada pusat Hidayah dengan objektif menangani keganasan menerusi ideologi naratif,” kata Zamihan.

Beliau berkata kertas cadangan serupa itu diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk tindakan lanjut.

Zamihan berharap penubuhan pusat itu akan menjadi realiti tidak lama lagi.

“Kita tidak perlu bajet besar untuk buka pusat itu. Kita perlu peruntukan kecil saja untuk bermula. Tetapi apa yang penting ialah, kita benar-benar memerlukan pusat seperti itu,” katanya.

Zamihan berkata walaupun situasi di Malaysia masih terkawal, lebih banyak usaha diperlukan untuk menangani kebanjiran ideologi daripada ekstremis untuk merekrut lebih ramai pengikut menyertai perjuangan mereka.

“Individu yang bersimpati dengan Isis di Malaysia, walaupun tahu apa yang kumpulan itu buat, kekejaman dan pembunuhan yang dilakukan, masih tetap percaya dengan perjuangan organisasi militan itu.

“Ramai antara mereka yang sudah kena 'brainwash'. Propaganda ini disalurkan menerusi media sosial dan jaringan online. Jadi, untuk memerangi ancaman itu, kita kena guna kaedah sama.

“Dengan menghantar mesej kita ke luar dan membenarkan rakyat membuat perbandingan sendiri dan berfikir,” kata Zamihan.

Katanya, Malaysia boleh dianggap bertuah kerana unit anti keganasan polis sangat proaktif dalam memerangi ekstremis Islam dalam negara.

“Pasukan polis kita bekerja keras dan selalu mengadakan pemantauan untuk menjejak dan mengesan mereka yang mempengaruhi orang lain untuk terbabit dalam militan dan polis akan menggagalkan aktiviti itu sebelum berlaku kemusnahan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, masyarakat perlu memainkan peranan mereka dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika mereka merasakan atau percaya mana-mana kumpulan atau individu cenderung terhadap ekstremis dan boleh membahayakan keselamatan negara.

Zamihan berkata, beliau sudah banyak terlibat dalam program pemulihan itu dan memulihkan kira-kira 1,000 suspek militan dan mereka yang bersimpati dengan militan.

Mereka ditahan polis mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kini di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012.

Awal bulan ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis bekerjasama dengan Aswaja untuk melatih penceramah agama bagi menangani penyebaran ideologi pengganas.

Katanya, kerjasama itu akan memudahkan orang ramai mendapatkan nasihat daripada ulama untuk menerima maklumat berkaitan isu keganasan, terutamanya membabitkan kumpulan militan seperti Isis.

“Keselamatan jadi semakin rumit dan mencabar dalam dunia tanpa sempadan terutama dengan penggunaan teknologi maklumat.”

Sehubungan itu, katanya, polis mengambil langkah proaktif menerusi kerjasama dengan organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk menangani penyebaran ideologi itu.

Katanya, polis setakat ini menahan 157 suspek militan, termasuk 25 wanita sejak 2013. Mereka dipercayai terbabit dalam pelbagai peringkat aktiviti militan.

Terbaru ialah pada penghujung Januari, di mana 7 orang ditangkap di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Johor dan Kedah kerana disyaki ada kaitan dengan Isis.

Polis merampas peluru untuk pelbagai jenis senjata, termasuk senapang M16.

Operasi 3 hari itu dibuat susulan penahanan seorang lelaki di stesen LRT Kuala Lumpur pada 15 Januari.

Tujuh individu itu dipercayai merancang serangan di beberapa lokasi popular di Lembah Klang dan negeri lain.

Antara yang ditahan ialah ketua sel, seorang warga Sabah yang bekerja sebagai pembantu pengurus di sebuah hotel di Johor.

Suspek lain yang ditahan di Johor ialah penyelia stor kilang berusia 33 tahun.

Seorang daripada 7 yang ditahan dikenal pasti sebagai “pengurus dana” sel itu, yang ditugaskan mengumpul dan menyalurkan dana kepada individu yang mahu ke Syria dan untuk melancarkan serangan.

Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di Kedah dan bekerja sebagai penjual cendol.

Dia dibantu seorang lagi tahanan, berusia 26 tahun dari Terengganu, yang merancang menyertai kumpulan militan itu di Syria.

Unit counter-terrorism turut mendapati seorang daripada yang ditahan itu berkomunikasi dengan Bahrun Naim, ahli pengasas Khatibah Nusantara Muhammad dari Indonesia, yang dikatakan polis Indonesia merencana serangan di Jakarta pada 14 Januari yang mengorbankan 12 orang.

Seorang lagi yang ditahan berkomunikasi dengan pengrekrut Isis rakyat Malaysia, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, juga dikenali sebagai Abu Hamzah. – 21 Februari, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments