Bahasa

Ancaman rotan majikan tidak berkesan jayakan program penggajian semula

Kos program penggajian semula pekerja asing yang tinggi merupakan halangan kepada kejayaan program, kata Persekutuan Majikan-majikan Malaysia. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 13 Mac, 2016.Kos program penggajian semula pekerja asing yang tinggi merupakan halangan kepada kejayaan program, kata Persekutuan Majikan-majikan Malaysia. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 13 Mac, 2016.Ancaman hukuman rotan terhadap majikan menggunakan pendatang asing tanpa izin (Pati) tidak mungkin berhasil bagi menjayakan program penggajian dan pengampunan semula Putrajaya kepada buruh yang tidak mempunyai dokumen kerana kosnya begitu tinggi untuk setiap pekerja, kata Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).

Tambahan pula, adalah sukar untuk menangkap majikan yang menggajikan pekerja haram di premis mereka, kata Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan.

Katanya, program penggajian semula itu sendiri tidak begitu popular kerana tiada jaminan pekerja akan mendapatkan permit sah walaupun selepas majikan mendaftar dan membayar fi sebanyak RM1, 300.

MEF melihat program penggajian semula itu lebih kepada skim permohonan dan bukannya 1 cara untuk mengiktiraf dan mengesahkan pekerja asing tanpa izin.

"Saya amat meragui ancaman ini (rotan) akan menyebabkan ramai majikan datang ke Jabatan Imigresen esok," kata Shamusuddin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rancangan Putrajaya mengenakan hukuman rotan sebagai penalti kepada majikan yang melindungi pekerja tanpa izin dan tidak mengaji semula mereka di bawah program ini.

Kebanyakan majikan mendaftar di bawah program penggajian semula itu merupakan perniagaan yang mempunyai 3 hingga 4 pekerja asing, katanya.

"Ia bukan melibatkan syarikat besar yang ramai pekerja mereka sudah menyertai program ini. Ia membabitkan perniagaan berskala kecil. Jadi ini bermakna sebahagian besar daripada syarikat besar menggunakan pekerja yang sah.”

Shamsuddin berkata, kos menyertai program penggajian semula itu sebenarnya lebih tinggi daripada RM1, 300 yang diiklankan bagi setiap pekerja.

"Pendahuluan anda perlu membayar fi RM800 dan penalti RM500 untuk setiap pekerja yang anda ada. Ini masih merupakan proses permohonan dan anda bukan secara automatik mendapatkan permit.

"Jika permohonan anda berjaya, anda perlu membayar levi pekerja asing dan RM400 fi agensi. Jadi ia agak mahal.

"Kami sudah meramalkan sebelum ini sedikit jumlah majikan yang akan menyertai program ini dan kini sedang berlaku."

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata majikan yang menggunakan pekerja tanpa izin diberikan tempoh hingga 30 Jun ini untuk mendaftar dalam skim tersebut.

Akhbar harian berbahasa Inggeris New Straits Times (NST) juga melaporkan Jabatan Imigresen mencadangkan hukuman rotan terhadap majikan yang ditangkap bersama pekerja haram selepas tarikh akhir Jun ini.

Menurut NST, kira-kira 3,700 majikan dan 13,000 Pati sudah berdaftar dengan program pengajian semula ini yang dilancarkan pada 15 Februari lepas.

Bilangan Pati di negara ini dianggarkan berjumlah 1.5 hingga 2 juta.

Shamsuddin berkata di bawah Akta Imigresen, hanya majikan yang didapati bersalah melindungi lebih 5 pekerja asing haram boleh dikenakan hukuman sebat.

Setakat ini, hanya seorang majikan dijatuhi hukuman sebat di bawah undang-undang itu, katanya.

"Biasanya, Pati akan bersembunyi ketika operasi Jabatan Imigresen dan mereka tidak datang bekerja.

“Jika mereka ditahan semasa di luar waktu bekerja, mereka tidak boleh dikaitkan dengan majikan." – 13 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments