Bahasa

Anwar sokong Dr Mahathir, pembangkang bersatu guling Najib

​Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan sokongan beliau untuk pembangkang bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad menggulingkan Datuk Seri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Mac, 2016.​Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan sokongan beliau untuk pembangkang bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad menggulingkan Datuk Seri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Mac, 2016.Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan sokongannya terhadap keputusan parti pembangkang dan pertubuhan sivil‎ berganding dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam usaha menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bekas ketua pembangkang itu berkata, usaha mendesak Najib meletak jawatan perlu disusuli dengan reformasi institusi di Malaysia dan perselisihan peribadi haruslah diketepikan.

"Saya menyokong pendirian rakan-rakan dari masyarakat sivil, parti politik dan individu-individu​ termasuk Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan lain-lain untuk menggembleng kekuatan dan persefahaman bersama seperti disuarakan ketua pembangkang baru-baru ini.

"Persefahaman bersama ini ​akan​ menumpukan untuk menuntut peletakan jawatan Najib selaku perdana menteri yang nyata gagal mentadbir negara," kata bekas timbalan perdana menteri yang dipecat Dr Mahathir pada 1998.

Anwar berkata, Najib bertanggungjawab meneruskan tindakan politik rakus, merosakkan institusi pemerintahan dan membebankan rakyat dengan kegawatan ekonomi yang berterusan.

"Tuntas dengan kesedaran ini maka hak rakyat harus dikembalikan melalui sistem pilihan raya yang bersih serta badan kehakiman dan media yang bebas.

"Dasar ekonomi harus diubah untuk mengutamakan semula usaha ke arah pertumbuhan yang segar dan pengagihan kekayaan yang saksama," katanya.

Anwar menyifatkan skandal yang dihadapi Najib ketika ini sebagai paling parah dalam sejarah negara dan menyebabkan imej negara terjejas di mata dunia.

"Skandal 1MDB yang melibatkan perdana menteri adalah skandal terparah dalam sejarah dan turut menjejaskan imej negara.

"Ini hanya mungkin berlaku apabila terdapat pemusatan kuasa kepada seorang perdana menteri serta kegagalan institusi kewangan, keadilan dan penguatkuasaan menjalankan tugas dengan bebas," katanya.

Anwar juga menggesa supaya perubahan kuasa perlu diambil serius dan mahu supaya agenda menjatuhkan Najib sebagai agenda utama.

"Kita juga sudah belajar dari pengalaman sejarah peralihan kuasa yang bermakna ​bukanlah peralihan tokoh semata tetapi perubahan sistem.

"Justeru itu saya tegas menggesa rakan-rakan dan rakyat bersama dalam usaha ini tanpa membataskan ia sebagai agenda peribadi mahupun permusuhan peribadi.

"Kita harus merangka halatuju baru bagi menyelamatkan negara," katanya.

Kenyataan Anwar hadir selepas Muhyiddin menyatakan kesediaan untuk menyertai himpunan pada 27 Mac ini bagi mendesak peletakan jawatan Najib sebagai perdana menteri.

Bekas menteri Kabinet, Datuk Zaid Ibrahim pada Februari lalu mencadangkan kepada orang ramai untuk mengadakan "perhimpunan menyokong Dr Mahathir" dan permintaan peletakan jawatan terhadap Najib, dan juga peguam negara serta ketua polis negara, pada 27 Mac.

Rancangan itu mendapat sokongan daripada bekas perdana menteri Dr Mahathir dan Muhyiddin yang sudah menyatakan kesediaan untuk turut serta dalam himpunan tersebut. – 3 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments