Pendakwa utama Malaysia sedang mempertimbangkan untuk meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang terlibat membocorkan rahsia negara dan mereka yang melaporkan berita tentang rahsia itu, menurut media tempatan hari ini.
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam satu laporan eksklusif dengan akhbar berbahasa Cina, Sinchew Daily berkata, pejabatnya sedang memikirkan untuk memasukkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan.
"Di sesetengah negara, membocorkan rahsia rasmi adalah satu kesalahan serius, seperti di China, di mana ia membawa kepada hukuman mati," beliau dipetik berkata.
Beliau berkata, wartawan yang didapati melindungi atau enggan mendedahkan sumber maklumat yang mereka perolehi juga boleh dikenakan tindakan.
"Saya tidak bergurau. Jika saya mempunyai 90% bukti, saya akan dakwa wartawan, pengarang, penolong pengarang dan ketua pengarang. Saya serius, bukan main-main.
"Kita ada terlalu banyak kebocoran rahsia di Malaysia," beliau dipetik sebagai berkata.
Pada November tahun lepas, Dewan Rakyat dimaklumkan, kerajaan akan mengkaji semula cadangan untuk meminda OSA.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim, dalam satu jawapan bertulis dilaporkan berkata, akta itu bertujuan menegakkan integriti kerajaan.
"Sesetengah dokumen tidak sepatutnya didedahkan kepada umum, terutamanya yang masih dalam perbincangan.
"Perbuatan membocorkan maklumat sulit akan memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan dan mungkin menimbulkan ancaman kepada keselamatan dan ekonomi kita," beliau dipetik berkata.– 6 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments