Sebanyak 5 platun Askar Wataniah akan ditugaskan bagi membantu Pejabat Daerah Cameron Highlands membanteras penerokaan tanah di kawasan tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.
Beliau berkata arahan turut dikeluarkan supaya kerja membanteras penerokaan tanah secara haram dijalankan dalam 3 syif bagi menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani isu berkenaan.
"Kes pencerobohan tanah di Cameron Highlands dipandang serius kerajaan. Kerajaan pusat dan kerajaan negeri tidak lagi boleh bertolak ansur dengan petani yang menceroboh dan menerokai tanah, bagi menjamin kawasan Cameron Highlands dapat dipulihkan seperti dahulu.
"Kita tidak mahu Cameron Highlands menjadi seperti Lojing di Kelantan yang diterokai begitu teruk sehingga cuaca atau iklim sejuk yang dialami dahulu hilang, sedangkan ia terletak bersebelahan Cameron Highlands," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuantan.
Beliau menghadiri Taklimat Ops Gading di Cameron Highlands semalam. Dalam taklimat itu, Shahidan turut mengarahkan Pegawai Daerah Cameron Highlands, Datuk A Rahman Hamzah untuk mengadakan kempen menanam sejuta pokok dengan segera.
Seramai 200 hingga 300 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) akan turut dihantar bagi membantu usaha Jabatan Perhutanan menanam semula pokok yang ditebang peneroka haram selain mengadakan operasi gotong-royong, katanya.
Beliau juga memaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan membanteras isu kehadiran pendatang tanpa izin di Cameron Highlands.
Sementara itu Rahman berkata pencerobohan tanah merupakan ancaman paling ketara kepada tanah tinggi itu.
"Ramai petani mengkomersilkan aktiviti pertanian mereka untuk berniaga di peringkat antarabangsa," katanya. – Bernama, 8 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments