Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mencadangkan pihak berkuasa menjalankan audit ke atas gaya hidup suspek bagi memastikan sama ada mereka hidup di luar kemampuan atau tidak, menyatakan hanya itu caranya membawa ahli politik yang mengamalkan rasuah ke muka pengadilan.
Beliau berkata, tiada siapa yang akan tampil ke hadapan memberi keterangan terutamanya apabila sesuatu kes rasuah itu melibatkan bos mereka dan orang yang berkuasa.
"Cara terbaik untuk suruhanjaya anti rasuah bertindak ialah dengan mengaudit cara hidup suspek. Adakah mereka hidup mengikut kemampuan mereka? Jika ia di luar kemampuan mereka, satu siasatan menyeluruh perlu dibuat ke atas semua sumber pendapatan suspek," kata Dr Mahathir dalam posting terbaru di blog beliau.
"Persaingan mendapatkan kontrak oleh sektor swasta mewujudkan peluang rasuah. Semakin besar kontraknya, semakin besar jumlah suapan haram yang ditawarkan.
"Pembuat keputusan mengutip banyak wang. Mendapatkan bukti atau keterangan untuk kes-kes rasuah sangat sukar. Tiada kontraktor akan tampil ke hadapan memberi keterangan kerana beliau akan 'ditanda' dan kontrak perniagaan dan masa depannya akan terjejas."
Bekas perdana menteri itu turut menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat Najib, mengatakan badan itu berhak berbuat demikian.
Bagaimanapun, beliau mendakwa, LHDN kelihatan tidak menjalankan tugasnya dalam kes RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun perdana menteri, sambil menambah jumlah itu jelas melangkaui apa yang seorang perdana menteri Malaysia boleh miliki.
Beliau juga berkata, Malaysia bernasib baik kerana pegawai-pegawai kerajaannya bersikap profesional dan tidak melibatkan diri dalam politik, tetapi hanya menerima arahan daripada kerajaan yang dipilih rakyat.
"Tetapi bagaimana jika kerajaan minta mereka melanggar undang-undang? Ya, mereka tidak fikir ia akan terjadi. Tetapi ia pernah terjadi.
"Mereka dalam keadaan serba salah. Tetapi, lebih baik ikut arahan daripada enggan menurut perintah dan terpaksa berdepan kesan yang tidak menyenangkan," kata Dr Mahathir.
Beliau berkata, Malaysia tersenarai antara 10 negara paling korup di dunia kerana penglibatan Najib dalam skandal kewangan sekitar 1Malaysia Development Berhad dan "derma" RM2.6 bilion.
"Mengatakan semua itu tidak benar dan tindakan peguam negara membersihkan Najib, tidak ada sebarang makna.
"Hanya siasatan penuh, termasuk mengenal pasti dan menyoal penderma, sumber pendapatan dan dokumen bukti pemindahan wang ke akaun Najib, akan menyelesaikan perkara ini," katanya.
Dr Mahathir juga mengecam Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, sekali lagi mengatakan beliau tiada kredibiliti, selepas menolak laporan Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Tambahnya, peguam negara juga mencadangkan hukuman penjara seumur hidup kerana membocorkan maklumat kerajaan, jelas satu petunjuk yang pasti beliau menyembunyikan kebenaran.
"Sebagai seorang Islam yang baik, dia perlu bersumpah depan Al-Quran dalam masjid, disaksikan pegawai-pegawai masjid dan orang ramai, mengatakan laporan itu tidak mengaitkan Najib dengan apa cara sekalipun.
"Dia tidak harus cuba menipu dengan mengatakan dalam hatinya sesuatu yang lain, tetapi melafazkan sumpah sesuatu yang lain. Ia akan menjadi dosa berganda." – 15 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments