Bahasa

Bekas model Playboy kekal nama Cina lepas peluk Islam

Bekas model Playboy Felixia Yeap memeluk Islam hari ini dan mengekalkan nama yang diberikan ibunya. Gambar fail.Bekas model Playboy Felixia Yeap memeluk Islam hari ini dan mengekalkan nama yang diberikan ibunya. Gambar fail.Selepas beberapa bulan dikritik dan menjadi mainan media, bekas model Playboy Felixia Yeap berkata beliau "akhirnya kembali" selepas gadis berumur 28 tahun itu memeluk Islam hari ini.

Yeap yang mahu nama asalnya dikekalkan selain menambah nama di hadapan berdasarkan mimpi, mahu status kaum Cinanya juga dikekalkan.

"Hari ini saya kembali akhirnya selepas 28 tahun mencari jalan pulang dan berkeras mengekalkan nama Cina yang diberi ibu saya.

"Nama Cina saya (Chin Yee) bermaksud ketenangan dan keanggunan. Saya yang sudah Islam di hati (tanpa disedari), kini akan mengucapkan dua kalimah syahadah di depan keluarga dan kenalan yang sering memberi galakan supaya terus istiqamah. Tidak ada media yang akan hadir," katanya menerusi blognya pagi ini.

Yeap, 28, memilih 5 Ramadan sebagai tarikh untuk memeluk agama Islam sempena hari ulang tahun kelahirannya hari ini.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu sebelum ini mengakui hasratnya untuk memeluk Islam namun masih belum memutuskan waktu sesuai dan mahu mendalami terlebih dulu ajaran agama.

Yeap mengakui sebelum mendekati Islam, beliau pernah mendalami agama Kristian dan Buddha namun tidak mendatangkan ketenangan jiwa.

Katanya, selepas mengenali Islam, dia lebih bersifat sederhana dan sudah tidak mengimpikan kemewahan yang pernah dikecapinya.

"Saya pernah ke gereja Katolik setiap petang Ahad selama 2 tahun. Saya pernah cuba mencari makna dalam penyembahan berhala Dewa Kuan Yin serta mengamalkan amalan seorang penganut Buddha.

"Tetapi hati saya tidak pernah merasa dekat dengan Tuhan. Hati saya tidak pernah rasa tersentuh. Sejak saya mula mengenali ajaran Islam, saya lebih reda, tenang dan senang bersyukur dengan hidup yang serba sederhana.

"Duit dan kemewahan tidak lagi menarik perhatian saya seperti mana dulu. Saya tidak lagi rasa teruja dengan kereta sport, beg mahal, kehidupan popular atau cita-cita tinggal di rumah besar dan mewah," katanya.

Yeap berkata, rahmat besar bagi dirinya adalah dikurniakan seorang ibu yang sangat memahami hasratnya untuk memeluk Islam.

Katanya, ibunya tetap tabah walaupun disindir saudara-mara kerana memiliki anak perempuan yang mengenakan busana muslimah.

"Rahmat yang terbesar adalah apabila beliau, seorang yang bukan Islam, langsung tidak mengetahui tentang Islam dan seringkali disindir saudara mara lain kerana anak perempuannya bertudung sehingga ke muka depan surat khabar dan sebagainya.

"Ibu tidak membantah malah merestui keputusan apabila saya memberitahu sedang mempelajari Islam dan bercadang untuk memeluknya," katanya.

Jelitawan ini mengakui pesan ibunya sentiasa menjadi pegangan kerana dibesarkan dalam keluarga yang tidak mempercayai Tuhan.

Katanya, dalam tempoh 10 tahun terlibat dalam bidang peragaan, bahan seperti arak, rokok dan dadah tidak pernah menjadi amalannya.

"Berbekalkan nasihat ibu iaitu jangan menyusahkan orang lain, jangan membiarkan mana-mana lelaki mengambil kesempatan, jangan berbuat jahat, jangan tertipu dengan orang di bandar dan jaga diri baik-baik.

"Saya cuba sedaya upaya yang boleh untuk melindungi diri saya dan pada masa sama mencari nafkah untuk dihantar balik ke rumah untuk ibu dan adik.

"Orang di sekeliling saya pada masa itu kebanyakannya mengukur kebahagiaan dengan kekayaan teman lelaki, parti yang paling ‘happening’, rasa ‘happy’, berapa yang boleh dikikis daripada lelaki kaya yang memikat dan mendahagakan kemewahan tanpa mempedulikan harga diri," katanya.

Yeap berkata, tiada guna hidup dengan penuh kemewahan tetapi jiwa rasa kosong dan bergelumang dengan dosa. – 3 Julai, 2014.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments