Bahasa

Bekas suami Deepa beri amaran rampas anak jika dibesarkan ikut ajaran Hindu

Izwan Abdullah melahirkan kebimbangan terhadap perancangan bekas isterinya S Deepa yang ingin membesarkan anak perempuan mereka, Nurul Nabila sebagai penganut Hindu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 17 Februari, 2016.Izwan Abdullah melahirkan kebimbangan terhadap perancangan bekas isterinya S Deepa yang ingin membesarkan anak perempuan mereka, Nurul Nabila sebagai penganut Hindu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 17 Februari, 2016.Mualaf Izwan Abdullah, yang menjadi perhatian berikutan kes perebutan hak penjagaan anak, memberi amaran kepada bekas isterinya S Deepa, dia akan merebut anak perempuan mereka daripadanya jika Deepa berkeras membesarkan anak mereka sebagai penganut Hindu.

Izwan berkata, walaupun beliau berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lepas yang memberikan beliau hak penjagaan anak lelakinya, dan Deepa, hak penjagaan anak perempuan, beliau bagaimanapun, bimbang dengan didikan agama anak perempuannya itu.

Izwan berkata, beliau memahami kasih sayang Deepa terhadap anak-anaknya tetapi menegaskan beliau mahu anak-anaknya dibesarkan sebagai orang Islam, merujuk kepada Mithran, 8, dan Sharmila, 11.

Jika tidak katanya, beliau akan merebut Nurul Nabila (Sharmila) dari daripada ibunya.

"Saya baca dalam media, dia merancang membesarkan mereka sebagai penganut Hindu. Harap-harap ini kali terakhir dia mengatakan begitu.

"Jika saya dengar sekali lagi dia mahu anak-anak saya jadi murtad, atau kalau saya tahu dia bawa anak perempuan saya ke kuil Hindu atau memberinya makanan tidak halal, saya akan merampas anak perempuan saya itu daripadanya," kata Izwan, 32, kepada The Malaysian Insider.

Izwan berkata, dia begitu bertegas mahu anak-anaknya dibesarkan sebagai orang Islam kerana tidak mahu sebarang percanggahan berhubung agama mengganggu pembelajaran dan ketenangan fikiran mereka.

"Saya ayah mereka dan saya seorang Islam. Mahkamah tidak membatalkan status penukaran agama Islam mereka.

"Jadi, saya rasa mereka harus dibenarkan untuk terus menjadi seorang Islam sehingga mereka berada pada usia yang sesuai untuk membuat keputusan sendiri sama ada mereka mahu meninggalkan Islam," katanya.

Izwan juga berkata, beliau sudah cuba bercakap dengan Deepa bagi membincangkan isu berkaitan penjagaan anak-anak mereka tetapi wanita itu enggan bekerjasama.

"Saya sudah bercakap dengan peguam kami dan meminta nombor Deepa. Saya hanya mahu bercakap dengan dia supaya kami boleh luahkan apa saja isu yang ada.

"Tetapi dia tidak mahu, sebaliknya dia memilih meluahkan kekecewaan melalui akhbar."

Pada 10 Februari, panel 5 hakim diketuai Tan Sri Raus Sharif, yang juga presiden Mahkamah Rayuan memutuskan Deepa dan bekas suaminya, Izwan memperoleh hak penjagaan anak di mana anak perempuan Nurul Nabila diserah kepada ibu dan anak lelaki kepada bapa.

Hakim juga memutuskan kedua-dua ibu bapa itu boleh berhubung dengan anak melalui telefon tanpa had.

Mahkamah Syariah pada 19 September, 2013 memberi hak penjagaan kepada Izwan ke atas kedua-dua anaknya selepas beliau memeluk agama Islam.

Pada 7 April, 2014, Mahkamah Tinggi Seremban memberikan hak penjagaan 2 anak pasangan itu kepada Deepa.

Tetapi, 2 hari kemudian, Izwan menculik Mithran dari rumah Deepa di Jelebu dan menjaganya sejak itu.

Deepa kemudian mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi pada 21 Mei, 2014 yang memerintahkan polis mencari Izwan dan Mithran.

Berikut adalah petikan temu bual:

TMI: Apa pendapat anda tentang perintah jagaan Mahkamah Persekutuan?

Izwan: Saya rasa saya puas hati. Saya juga gembira kerana Deepa dapat jaga seorang anak, saya boleh memahami bagaimana perasaannya sebagai seorang ibu.

Tetapi yang membimbangkan saya sekarang ialah Deepa akan membesarkan Nabila sebagai seorang Hindu, dan saya tidak mahu itu.

Anak lelaki saya sudah bersama dengan saya dan dibesarkan sebagai seorang Islam, dan dia benar-benar mahir membaca al-Quran.

Jadi saya mahu anak perempuan saya dibesarkan seperti itu juga, saya ingin mengajarnya mencintai Islam.

TMI: Jadi apa yang anda akan lakukan tentang itu?

Izwan: Saya berharap dapat mengaturkan supaya dia boleh menghadiri kelas agama.

Dan pada masa saya dibenarkan menghabiskan masa dengannya seperti perintah mahkamah, saya juga akan mengajarnya mengenai Islam. Saya ingin memulakan semua ini segera kerana kita tidak tahu bila waktu kita akan berakhir, bila kita akan kembali kepada Allah.

Bagaimana jika anak perempuan saya mati tiba-tiba, dalam kemalangan atau sesuatu, bagaimana kita akan menguburkannya? Itulah kebimbangan saya. Tetapi tidak ragu-ragu lagi, anak perempuan saya itu beragama Islam.

TMI: Tetapi Deepa berkata dia mahu membesarkan anak-anaknya sebagai Hindu kerana itu adalah agama mereka dilahirkan. Apa pandangan anda mengenai itu?

Izwan: Saya ayah mereka dan saya seorang Islam. Mahkamah tidak membatalkan status penukaran agama Islam mereka.

Jadi, saya rasa mereka harus dibenarkan untuk terus menjadi seorang Islam sehingga mereka berada pada usia yang sesuai untuk membuat keputusan sendiri sama ada mereka mahu meninggalkan Islam.

Tetapi sudah tentu saya akan lakukan apa saja yang boleh untuk memastikan mereka kekal sebagai orang Islam.

Saya akan berbincang dengan peguam saya tidak lama lagi mengenai langkah seterusnya dari sisi undang-undang mengenai hal-hal penukaran agama, sekiranya ada.

Tetapi, jika saya dengar sekali lagi dia mahu anak-anak saya jadi murtad, atau kalau saya tahu dia bawa anak perempuan saya ke kuil Hindu atau memberinya makanan tidak halal, saya akan merampas anak perempuan saya itu daripadanya.

TMI: Apa yang anda harapkan pada masa depan?

Izwan: Saya hanya harap kami boleh bercakap antara satu sama lain untuk membincangkan hal ehwal anak-anak kami.

Dia boleh menjemput sesiapa saja hadir, saya tidak ada masalah, sama ada NGO, peguamnya atau pihak media sekali pun.

Saya sudah cuba dapatkan nombor telefonnya tetapi tidak berjaya, ternyata dia tidak mahu bercakap dengan saya tetapi lebih suka bercakap tentang saya dengan media.

Sebagai contoh, dia memberitahu media, saya ada tatu pada badan dan saya seorang samseng.

Ya saya ada tatu, dan ya, satu ketika dahulu, saya bergaul dengan rakan-rakan yang tidak baik semasa saya muda, di rumah saya di Sepang, tetapi normal bukan? Adakah itu membuatkan saya seorang gengster?

Dan ya, saya mempunyai fail polis tetapi semua itu merupakan masa lalu saya.

Dia juga kata, saya keluar dengan perempuan Melayu tetapi saya berkahwin dengan seorang India Muslim.

TMI: Bagaimana Nabil (Mithran) menghadapi keluarga baharunya?

Izwan: Dia baik sahaja, dia mengamalkan Islam dengan baik dan boleh membaca al-Quran. Dan isteri saya 10 kali ganda ibu yang lebih baik terhadapnya berbanding Deepa.

Isteri saya mempunyai 2 orang anak daripada perkahwinan sebelum ini, seorang anak perempuan berusia 12 tahun dan seorang anak lelaki berusia 9 tahun. Hubungan kami semua baik dan kami akan menimang cahaya mata pada Jun ini.

Mengenai Deepa yang menuduh saya gengster, dia ada banyak peluang untuk meninggalkan saya kerana kami hanya melakukan majlis secara tradisional Hindu pada 2004, beberapa tahun selepas perkahwinan kami didaftarkan secara rasmi.

Jika saya adalah gengster, dia boleh meninggalkan saya dahulu lagi.

Saya tidak mahu buka pekung di dada, apa yang boleh saya katakan ialah, kami tidak ditakdirkan untuk bersama.

Saya juga ingin menjelaskan, saya masuk Islam lama sebelum saya berjumpa isteri saya sekarang. Saya menukar agama pada 2012 tetapi berkahwin kurang daripada 2 tahun lalu.

Semasa saya membesar di Sepang, saya pernah tidak menyukai suara azan dan saya hanya mempunyai rakan-rakan Cina dan India.

Namun, selepas saya berpindah ke kampung halaman Deepa di Jelebu, saya mula kenal agama Islam kerana kami dikelilingi jiran-jiran Melayu. Saya bersyukur kepada Allah untuk itu.

TMI: Adakah apa-apa yang anda mahu Deepa tahu?

Izwan: Saya hanya mahu dia tahu yang dia boleh berkongsi masalah dengan saya.

Hari itu ketika Mahkamah Persekutuan membuat keputusan, dia menangis dan berkata kepada media hidup ini adalah sukar buatnya, dari segi kewangan juga.

Saya ingin mengatakan, saya mampu membesarkan kedua-dua anak kami, dia hanya perlu berbincang dengan saya. Saya tidak keberatan jika dia hendak datang melawat mereka seberapa kerap dia mahu.

Saya tidak akan menghalangnya jika saya boleh dapat hak ke atas kedua-dua anak-anak saya.

Saya penjaga rumah anak-anak yatim, jika saya boleh menjaga 25 orang anak yatim, sudah tentu saya boleh menjaga sendiri anak-anak saya.

Deepa juga mengadu pada masa lalu dia tidak mendapat bantuan daripada pihak polis, tetapi hakikatnya saya yang tidak mendapat bantuan pihak polis!

Apabila saya pergi kepada mereka membawa perintah Mahkamah Syariah, polis Jelebu beritahu saya, ia hanya perintah Mahkamah Syariah, pergi selesaikannya sendiri, ia hanya masalah rumah tangga.

Tetapi apabila Deepa mendapat perintah Mahkamah Tinggi itu, polis mengetuk pintu rumah saya di Sepang dan cuba mengambil anak lelaki saya.

Jadi saya beritahu mereka, anda boleh ambil dia (anak lelaki) sekarang, tetapi esok anda mesti pulangkan kedua-dua mereka kepada saya kerana saya ada perintah Mahkamah Syariah. Dan saya tanya kepada mereka, jika saya tidak boleh dapat keadilan daripada Mahkamah Syariah, ke mana saya harus pergi? Ke Indonesia?

Ketika itulah mereka pergi tanpa mengambil anak saya. – 17 Februari, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments