Bahasa

Siasatan 1MDB dedahkan berbilion ringgit dimasukkan ke akaun Najib

Dokumen yang ditemui menunjukkan RM2.67 bilion dipindahkan ke pelbagai agensi kerajaan, bank dan entiti berkaitan 1MDB dan akhirnya ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam 5 deposit berasingan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Julai, 2015.Dokumen yang ditemui menunjukkan RM2.67 bilion dipindahkan ke pelbagai agensi kerajaan, bank dan entiti berkaitan 1MDB dan akhirnya ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam 5 deposit berasingan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Julai, 2015.Siasatan ke atas syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendapati berbilion ringgit dimasukkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, lapor Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report.

Kedua-duanya memetik dokumen siasatan 1MDB yang dijalankan kerajaan Malaysia, dengan Sarawak Report mendakwa Peguam Negara sedar mengenai hal itu.

Dokumen itu menunjukkan AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke agensi kerajaan, bank dan entiti berkaitan 1MDB dan akhirnya ke akaun peribadi perdana menteri dalam 5 deposit berasingan, lapor WSJ.

Ia berkata, urus niaga terbesar melibatkan deposit sebanyak AS$620 juta dan satu lagi AS$61 juta pada Mac 2013, dua bulan sebelum pilihan raya umum diadakan.

Bagaimanapun, Putrajaya menafikan laporan itu, mengatakan Najib tidak pernah menggunakan sebarang dana awam.

"Perdana menteri tidak pernah mengambil apa-apa dana untuk kegunaan peribadi," kata seorang jurucakap Putrajaya.

"Lawan politik perdana menteri, enggan menerima rekodnya atau fakta, terus cuba melemahkan beliau dengan tuduhan tidak berasas dan khabar angin semata-mata untuk kepentingan politik."

Sementara itu, jurucakap 1MDB berkata, merujuk pemindahan ke akaun Najib: "1MDB tidak menyedari transaksi berkenaan atau melihat dokumen yang berkaitan."

Jurucakap itu memberi amaran yang dokumen yang diubahsuai pernah digunakan sebelum ini untuk memburukkan 1MDB dan kerajaan.

Sarawak Report melaporkan RM42 juta dimasukkan ke akaun Najib dari SRC International Sdn Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan yang mengambil pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP.

"Wang yang diambil dari SRC International merupakan pendedahan yang mengejutkan kerana wang ini diberi pinjam oleh KWAP dan tidak pernah direkodkan," menurut laporan itu.

Kementerian Kewangan berkata sebelum ini, SRC melaburkan dana itu dalam Gobi Coal & Energy Ltd, syarikat berpangkalan di Mongolia, namun butiran lanjut tidak didedahkan.

Seorang pengarah SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, dakwa laporan itu, dikatakan mempunyai kuasa guaman ke atas akaun Najib, menurut dokumen yang diperoleh dari siasatan itu.

Transaksi terbaru, menurut laporan itu adalah pada Februari tahun ini. Dokumen menunjukkan SRC International memindahkan RM10 juta ke sebuah akaun milik “Dato' Sri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak” di AmPrivate Bank di Kuala Lumpur.

WSJ turut melaporkan SRC dan bank tersebut enggan mengulas perkara itu.

1MDB kini berdepan dengan pelbagai inkuiri oleh pihak berkuasa termasuk ketua audit negara, Bank Negara, polis dan Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara (PAC).

Najib yang juga menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB berdepan kritikan sejak beberapa bulan lalu berhubung beberapa isu termasuk 1MDB yang mengumpul RM42 bilion hutang selama enam tahun beroperasi.

Semalam, perdana menteri mengakui tertekan dengan khabar angin yang mengaitkannya dengan kontroversi pembelian tanah 1MDB oleh Tabung Haji, mengatakan kerajaan yang bertanggungjawab tidak akan menggunakan dana awam bagi menyelamatkan syarikat milik kerajaan. – 3 Julai, 2015.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments