Bahasa

Berdepan pemecatan, Mukhriz sahkan kehadiran ke mesyuarat MT Umno esok

Sumber terdekat Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan kepada The Malaysian Insider, beliau akan bertolak ke Kuala Lumpur esok untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Januari, 2016.Sumber terdekat Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan kepada The Malaysian Insider, beliau akan bertolak ke Kuala Lumpur esok untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Januari, 2016.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang sedang berdepan risiko dipecat bakal hadir ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno esok di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di mana dijangka nasibnya bakal ditentukan.

Sumber terdekat Mukhriz mengesahkan kepada The Malaysian Insider, menteri besar Kedah itu akan bertolak ke Kuala Lumpur esok bagi menghadiri mesyuarat itu.

"Mukhriz akan hadir ke mesyuarat itu memandangkan beliau masih menteri besar yang sah hingga hari ini," kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Menteri besar penggal pertama itu, mengikut hirarki dalam Umno juga merupakan ahli MT bagaimanapun tidak mempunyai kuasa mengundi untuk sebarang keputusan parti.

Sumber memberitahu, Mukhriz akan meminta penjelasan berhubung kemelut politik yang sedang melanda di Kedah dan berharap jawatannya sebagai menteri besar dikekalkan sehingga penggal berakhir.

"Menteri besar mahu meminta pencerahan daripada kepimpinan mengenai kemelut politik yang melanda dan setakat hari ini beliau masih kekal dengan pendirian untuk kekal mentadbir kerajaan negeri.

"Mengenai tawaran semasa di Langkawi, beliau sudah menolak," kata sumber merujuk mengenai tawaran jawatan timbalan menteri kepada Mukhriz sebelum ini daripada Najib jika meletak jawatan sebagai menteri besar secara sukarela.

Bagaimanapun, Mukhriz bakal berdepan halangan dalam mesyuarat esok memandangkan 3 ahli MT dari Kedah juga merupakan antara yang berada dalam kumpulan penentang yang mendesaknya berundur daripada jawatan menteri besar.

Menurut sumber, 3 ahli MT itu ialah Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Datuk Seri Mahdzir Khalid. Mereka akan memainkan peranan penting dalam mesyuarat untuk mempengaruhi keputusan memecat Mukhriz.

"Tiga ahli MT dari Kedah ini antara yang berada dalam sidang media mendesak Mukhriz berundur, malah mereka ini juga ‘mastermind’ dalam langkah menyingkirkan menteri besar.

"Mukhriz sedar mengenai risiko dihadapinya dalam mesyuarat esok dan sedia berdepan sebarang kemungkinan," kata sumber.

3 ahli MT itu juga yang menang dalam pemilihan dan juga mempunyai kuasa mengundi untuk menyingkirkan Mukhriz.

"Jika undian dibuat, Mukhriz berdepan cabaran yang besar tewas dalam mesyuarat MT esok," katanya.

Mukhriz, yang juga menteri besar penggal pertama ketika ini berdepan penentangan Umno Kedah apabila sekumpulan pemimpin negeri diketuai Timbalan Pengerusi Perhubungan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Turut berada dalam sidang media itu ialah 2 ahli MT Kedah, Jamil dan Azeez. – 28 Januari, 2015.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments