Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa orang ramai agar tidak menafsirkan tindakannya berjalan bersama-sama pembangkang sewaktu pembukaan sidang Dewan Rakyat baru-baru ini sebagai bererti beliau kini bersama mereka.
Menurut ahli Parlimen Pagoh itu, jiwanya masih lagi jiwa Umno dan berjalan bersama pembangkang itu merupakan satu perkara biasa.
"Jangan mudah tafsirkan saya masuk kepada pihak pembangkang.
"Ingat saya ini Umno totok tetapi tidak bermakna sebab itu kita harus mengikut mereka atau bersekongkol dengan mereka.
"Pada zahir saya tidak melihat itu sebagai isu kerana di Parlimen biasa seperti itu,"katanya dalam satu wawancara bersama Sinar Harian.
7 Mac lalu, gambar Muhyiddin berjalan beriringan bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng selepas majlis pembukaan sidang Dewan Rakyat tersebar.
Tindakan itu menimbulkan pertanyaan sama ada bekas timbalan presiden Umno itu dipulaukan partinya sendiri.
Dalam wawancara sama, Muhyiddin turut menjelaskan tindakannya menandatangani Deklarasi Rakyat bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin pembangkang.
"Saya jelaskan di sini langkah yang saya ambil kini (sertai Deklarasi Rakyat) adalah untuk menyelamatkan Umno dan kerajaan supaya keadaan tidak menjadi teruk dan esok mungkin kita akan kalah dalam pilihan raya.
"Sebab itu saya anjurkan satu deklarasi untuk menyelamatkan parti dan negara, jadi kalau dilihat di sudut itu saya bukan pengkhianatnya".
Pada Julai tahun lalu, Muhyiddin digugurkan daripada Kabinet kerana lantang mengkritik syarikat sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bulan lalu, jawatannya sebagai timbalan presiden Umno dilucutkan kerana dikatakan tidak membantu presiden.
"Saya adalah penyelamatnya, supaya pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) tahu keadaan kini teruk.
"Dan sekiranya Datuk Seri Najib Razak tidak berhenti maka bebanan yang ditanggung itu akan ditanggung bersama parti...parti akan ditolak rakyat.
"Itu sebab saya berani ke depan, walaupun saya tahu saya akan dicerca, jadi jika tiada ahli parti yang bersedia nyatakan yang hak, saya berani kerana bagi saya 'nyatakan benar walaupun pahit' sebab itu ubatnya," katanya. – 12 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments