Bahasa

Bertani jadi pilihan jimatkan kos sara hidup di bandar

Bekas guru, Iskandar Ab Rasid mengakui hasil yang diperolehnya hasil daripada tanaman sayur-sayuran organik di kediamannya agak memberangsangkan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Fiqah Mokhtar, 14 Mac, 2016.Bekas guru, Iskandar Ab Rasid mengakui hasil yang diperolehnya hasil daripada tanaman sayur-sayuran organik di kediamannya agak memberangsangkan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Fiqah Mokhtar, 14 Mac, 2016.Ruang yang terhad di kediaman rumah teres 2 tingkat yang didiaminya bukan penghalang bagi Iskandar Ab Rasid, 53, untuk menjadikan berkebun sebagai sumber utamanya bagi menyara keluarga.

Bermula dengan tanaman sayur kecil-kecilan di dalam pasu di rumah apartmen pada 1997, tekanan kos sara hidup yang tinggi disebabkan ahli keluarga yang ramai, beliau kini menjadikan minatnya berkebun sebagai sumber pendapatan dengan menjadi petani bandar.

Ruang kecil di bahagian tepi kediamannya di Semenyih, Selangor dipenuhi hampir 10 petak batu-bata bersaiz antara 9 kaki persegi dan 12 kaki persegi dengan tanaman lebih 20 jenis sayur-sayuran organik.

Melalui kaedah itu, pemegang ijazah dalam bidang Biologi dari universiti di Amerika Syarikat dan sarjana dalam bidang Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu kini mampu menjimatkan lebih RM400 sebulan untuk perbelanjaan barangan dapur, terutamanya sayur-sayuran.

“Saya bukan sifu, saya hanya seorang tua yang minat berkebun,” katanya kepada The Malaysian Insider, dalam satu wawancara di kediamannya, baru-baru ini.

Mengakui hasil yang diperolehnya hasil daripada tanaman sayur-sayuran organik itu agak memberangsangkan, bapa kepada 9 anak ini memulakan minatnya secara serius apabila gaji sebagai pendidik yang diterimanya tidak mampu menampung keluarga besar yang disaranya.

“Dahulu gaji guru baru berapa ratus, ada antara kami siang menjadi guru, malam bawa teksi, saya sendiri sukar untuk meneruskan kehidupan dengan hanya makan gaji menjadi guru.

“Gaji yang naik tidak selari dengan keperluan perbelanjaan harian, jadi saya memutuskan untuk mula tanam sayur di rumah,” katanya, yang ketika itu menetap di pangsapuri.

Mengimbas kembali zaman sukarnya ketika itu, Iskandar, yang lebih mesra dengan panggilan “Cikgu Is” berkata, setiap perbelanjaan barangan dapur keluarganya “agak luar biasa”.

“Apabila saya pergi membeli roti, peniaga roti itu tanya, ‘abang jual sandwich ke’, bila saya pergi beli beras, penjual beras itu tanya, ‘abang nak buat kenduri ke’. Jadi saya merasakan terdapat keperluan untuk kami menanam sayur dan menjimatkan perbelanjaan harian,” katanya, kepada The Malaysian Insider.

“Daripada beli roti, saya mula membuat roti. Malam sebelum tidur saya campurkan bahan-bahan untuk membuat roti dalam mesin pembuat roti, bangun pagi keesokan harinya, roti sudah siap, sebuah rumah bau roti segar. Waktu itu harga tepung gandum sekitar RM1.50 sekilogram.”

Malah, ketika itu, Cikgu Is turut menternak ikan keli sebagai sumber protein untuk keluarganya.

"Jadi macam di sini kita bekerja, anak makin membesar, gaji memang naik, tapi tidak selari keperluan, kita kena cari alternatif, jadi alternatif kita masalahnya kita nak jimat belanja, anak ramai. Masa itu memang jimat, beras memang kita tidak boleh tanam padi, tapi cari juga alternatifnya,” katanya.

Lawatan The Malaysian Insider ke kediamannya mendapati antara sayur-sayuran yang ditanam Cikgu Is adalah sawi hijau; terung; kacang panjang; basil; kacang bendi; zukini, serta beberapa jenis sayuran-sayuran salad lain.

Kesemuanya ditanam menggunakan kaedah organik tanpa sebarang baja atau racun kimia.

Cikgu Is berkata, penyediaan baja kompos adalah perlu untuk menjadikan sayur-sayuran hidup segar dan beliau mengelakkan  penggunaan baja kimia kerana mudarat yang boleh diberikannya kepada manusia.

“Dalam sehari kita dapat jimat RM15, anak 9 orang, lebih kurang RM400 jimat sebulan untuk makanan. Itu kalau kita kira harga sayur biasa, yang kita tanam ini sayur organik, kalau beli harga di pasaran lebih tinggi,” katanya.

Selain menguruskan “ladang” sayurnya, Cikgu Is turut menerbitkan lebih 20 judul buku khusus untuk penanaman sayur mengikut jenis-jenisnya.

Malah, beliau turut menerbitkan hampir 450 judul buku lain pelbagai bidang termasuk Sains dan Komputer, selari dengan pengetahuannya.

Beliau turut berkongsi pengetahuannya berkenaan dunia penanaman sayur di laman blog www.tanamsendiri.com, dan laman sosial Facebook tanamsendiri.

Selain memberikan khidmat nasihat, Cikgu Is turut menjual benih sayur-sayuran yang ditanamnya ke serata negara melalui khidmat pos.

“Namun sekarang kita hentikan dahulu khidmat membekal biji benih, tidak cukup masa. Kalau kita nak pek setiap satu memakan masa 10 minit, separuh hari dihabiskan untuk mengisi pek, kemudian kita perlu bergegas untuk mengeposnya, banyak masa yang digunakan. Jadi sekarang kita menghentikan sementara waktu,” katanya.

Selain menerima lawatan daripada institusi pengajian tinggi dan individu, laman kecil di kediamannya itu turut didatangi mereka yang berminat dengan perkebunan dari luar negara.

“Ada pelanggan saya datang dari Belanda dan membeli benih sayur-sayuran kami,” katanya, dan menambah, resipi “Nasi Moringa” atau lebih dikenali sebagai “kacang kelor” yang dikongsinya kepada pemilik restoran itu, menerima begitu banyak sambutan sehingga peniaga itu kini membuka 3 cawangan di negara itu.

Cikgu Is turut mengakui, pengajiannya selama 6 tahun Amerika Syarikat berkenaan biologi turut membantu kejayaannya menjadi pekebun bandar.

“Saya tidak jaga pokok, saya jaga tanah, kemudian tanah yang akan menjaga pokok,” katanya.

"Kita di Malaysia, bila nak tanam sesuatu, kita ada dalam ‘mindset', bila nak tanam sayur mesti tempat sejuk. Masa saya dekat AS, orang tak tanam masa musim sejuk, orang tanam masa musim panas, waktu itu saya sedar, konsep kita tanam sebab sejuk itu tidak betul,” katanya.

Beliau turut mengakui terdapat segelintir pekebun sayur dari kawasan pertanian terkenal negara, Cameron Highlands yang membeli benih sayur daripadanya.

Selain menjual buku, Cikgu Is turut memberikan khidmat menjual sayur-sayuran berunsur ulam-ulaman kepada pelanggannya.

“Kita letak dalam set, ulam dengan sambal belacan dalam bekas plastik kedap udara, jadi kalau mereka mahu keluar makan tengah hari, mereka boleh terus bawanya,” katanya.

Menurut pembantu ahli majlis Mohd Rezal Hashim, 45, beliau mengusahakan tanah kebun di kawasan pangsapuri Garnet di Puchong Indah bersama beberapa orang jiran di bawah pengawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Rezal yang mempunyai 4 orang anak itu mengakui aktiviti bercucuk tanam itu sedikit sebanyak mengurangkan kos keperluan harian dapurnya di mana secara kasar memakan belanja kira-kira RM50 seminggu bagi mereka sekeluarga.

"Pelbagai pernah saya tanam seperti sawi, bayam, kangkung, bendi, terung, kubis, pucuk manis, kacang panjang, cili padi, cili hijau, cili merah..tetapi paling penting, saya tanam sayur yang dimakan dan diminati oleh anak-anak. Herba juga ada seperti belalai gajah, tebu hitam, daun kemangi, dan beberapa lagi," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Rezal yang berminat dengan aktiviti berkebun sejak kecil itu berkata beliau sememangnya ada terfikir untuk mengkomersialkan hasil kebunnya sekiranya kawasan tanah tidak terhad seperti sekarang.

"Selain memang hobi berkebun dalam skala kecil, ia memang sesuatu yang saya ceburi selepas saya tinggal di Puchong dalam tahun 1996.

"Banyak manfaat yang boleh kita dapat, sayur yang ditanam sendiri dah tentunya selamat kerana saya tidak menggunakan racun kimia, sebaliknya saya menggunakan racun serangga organik di mana ianya lebih selamat. Tapi paling penting dapat mengajar anak-anak ilmu bertani," katanya.

Manakala bagi guru yoga Susan Tam Thimei, 37, yang mempunyai kebun kecilnya sendiri di balkoni rumahnya sejak 3 tahun lepas berpendapat beliau berasa puas hati apabila dapat menggunakan hasil tanaman sendiri kerana ia bebas dari bahan kimia.

Jenis tanaman yang ditanam di balkoni rumahnya adalah seperti serai, basil, daun kari, terung dan daun salad (lettuce).

Katanya, ruang yang terhad membuatkan beliau dan suami tidak dapat menanam lebih banyak tanaman, tetapi Susan berkata beliau turut menyertai "edible project" di kawasan perumahannya di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) bersama beberapa orang jirannya.

Namun berkata, beliau tidak bertujuan menanam tanamannya itu untuk mengurangkan kos perbelanjaan harian dapurnya kerana Susan dan suaminya mahukan makanan yang segar dan mesra alam.

"Suami saya seorang vegetarian dan kalau boleh dia ingin tahu dari mana makanan itu datang.

"Kami tidak merasakan kami lakukan ini untuk kurangkan perbelanjaan tetapi untuk makan dengan lebih sihat dan mesra alam.

"Seronok apabila kita hanya perlu keluar ke balkoni sendiri untuk sayur-sayuran berbanding pergi ke kedai, mencari tempat letak kereta dan mengambil masa," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Arkitek landskap dari MPSJ Ramzi Mohamed Lazim berkata, ‘urban farming’ pada mula ia diperkenalkan MPSJ pada 2012 tidak mendapat sambutan seperti hari ini kerana tidak ramai pada yang mempunyai tahap kesedaran kebaikan bercucuk tanam sendiri. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 14 Mac, 2016.Arkitek landskap dari MPSJ Ramzi Mohamed Lazim berkata, ‘urban farming’ pada mula ia diperkenalkan MPSJ pada 2012 tidak mendapat sambutan seperti hari ini kerana tidak ramai pada yang mempunyai tahap kesedaran kebaikan bercucuk tanam sendiri. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 14 Mac, 2016.Ramzi Mohamed Lazim, arkitek landskap dari MPSJ berkata "urban farming" pada mula ia diperkenalkan oleh MPSJ pada 2012 tidak mendapat sambutan seperti hari ini kerana tidak ramai pada waktu itu yang mempunyai tahap kesedaran kebaikan bercucuk tanam sendiri.

Namun, selepas pelbagai promosi, kaji selidik yang dilakukan oleh pihak MPSJ, akhirnya ia mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada penduduk setempat.

Ramzi berkata, peranan MPSJ adalah mewujudkan projek alam sekitar berdasarkan komiti projek di mana MPSJ akan meluluskan sama ada tanah lapang atau terbiar yang dicadangkan penduduk setempat itu boleh diusahakan sebagai aktiviti bercucuk tanam atau pun tidak.

Katanya, dengan aktiviti seperti ini, pertalian silaturahim antara jiran dapat dirapatkan kerana MPSJ meletakkan syarat, penduduk perlu mencari sekurang-kurangnya 5 orang penduduk setempat untuk mengusahakan tanah tersebut.

"Antara manfaat yang saya dapat lihat daripadanya, menurut kajian yang kami (MPSJ) lakukan ialah mereka dapat jimat kira-kira RM20-RM30 sebulan bagi perbelanjaan dapur, kawasan tanah yang terbiar dapat digunakan dengan sebaik mungkin, bebas bahan kimia, mengamalkan gaya hidup yang sihat daripada aktiviti bercucuk tanam," katanya kepada The Malaysian Inisder.

Menurut Ramzi, walaupun jumlah RM20-RM30 merupakan satu jumlah yang kecil, tetapi bagi penduduk di kawasan berpendapatan rendah seperti di pangsapuri Sri Serdang, pangsapuri Garnet di Puchong Indah merasakan ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan bulanan mereka.

Namun, katanya, berbeza pula dengan penduduk di kawasan berpendapatan tinggi seperti di SS19, USJ6, USJ13, kebanyakannya tidak melakukannya sebagai mengurangkan perbelanjaan mereka tetapi lebih kepada merapatkan silaturahim antara jiran.

"Sesetengah penduduk di situ akan menghias kebun mereka dengan membuat perpustakaan kecil dan mewujudkan suasana taman untuk mereka bersantai," katanya.

Katanya, ia terpulang kepada kreativiti penduduk setempat itu untuk menguruskan tanaman kebun mereka dan pihak MPSJ akan memantau setiap kawasan berkenaan setiap 3 kali sebulan.

Ini kerana beliau memberitahu, sesetengah penduduk menguruskan kebunnya separuh jalan dan pihak MPSJ perlu memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan kebun mereka.

"Antara cabarannya ialah sesetengah daripada mereka pada mulanya sangat bersemangat untuk berkebun tapi disebabkan kekangan masa, sibuk bekerja membuatkan mereka melakukannya separuh jalan," katanya.

Menurutnya, antara golongan yang menyertai "urban farming" di bawah MPSJ majoritinya adalah suri rumah dan golongan pencen. – 14 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments