Kumpulan ibu bapa dan pendidik amat mengalu-alukan biasiswa kerajaan dikembalikan, namun mereka memberi amaran anugerah itu akan sia-sia sekiranya tidak diberikan kepada pelajar daripada latar belakang keluarga miskin yang cemerlang.
Memandangkan kini jumlah biasiswa dikurangkan kerana keadaan kewangan Putrajaya yang kurang memuaskan, maka keperluan agar kerajaan telus tentang latar belakang penerima biasiswa itu menjadi lebih mustahak.
"Jika mahu benar-benar adil, anda tidak boleh anugerahkan biasiswa kepada pelajar 9A daripada keluarga senang," kata Pengerusi Majlis Kebangsaan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Datuk Mohamad Ali Hassan.
Katanya, biasiswa itu lebih baik dianugerahkan kepada pelajar miskin yang hanya memperoleh 5 atau 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Seorang ahli Parlimen pembangkang berkata, pengurangan biasiswa tidak wajar memandangkan kerajaan boleh menyalurkan dana daripada jabatan lain yang kurang kritikal supaya ia boleh memberikan jumlah biasiswa sama.
Di bawah pengubahsuaian Bajet 2016, Putrajaya meneruskan pemberian 4 biasiswa iaitu Program Biasiswa Nasional, Program Khas Kejuruteraan ke Jepun, Korea, Jerman dan Perancis, Program Lepasan Bursary dan program ijazah pertama.
Pentadbiran Najib sebelum ini dikecam apabila ia membayangkan akan memotong biasiswa dalam pembentangan Bajet 2016 pada Oktober 2015.
Peruntukan baharu ini kata Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari, adalah pengesahan peruntukan untuk keempat-empat program dipotong antara 21% hingga 60%.
Zairil berkata pemotongan tertinggi dibuat terhadap program berprestij Biasiswa Nasional yang menyaksikan pengurangan daripada 50 orang kepada 20 orang pelajar dihantar ke universiti elit luar negara tahun ini.
Program ijazah pertama dipotong sebanyak 20% menyaksikan hanya 8,000 biasiswa diberikan kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di institusi tempatan berbanding 10,050 pada 2015.
Zairil berkata, Putrajaya sepatutnya boleh mengurangkan atau memansuhkan program lain seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Biro Tata Negara (BTN), TalentCorp dan Program Latihan Khidmat Negara.
Satu keistimewaan, bukan hak
Aktivis pendidikan Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, beliau menerima pengurangan itu apabila mengambil kira tekanan kewangan dalam dana kerajaan tahun ini, tetapi lega kerana program itu diteruskan.
"Cabarannya sekarang adalah bagaimana kita memberikan biasiswa apabila ada ramai pelajar mendapat 9A," kata setiausaha agung Kelab Intelek dan Pendidikan Malaysia (KIPM) itu.
"Ia menjadi lebih mencabar sekarang dan kita seharusnya mempunyai metrik berbeza selain daripada kelayakan akademik," katanya.
Mohamad Ali daripada Majlis Kebangsaan PIBG berkata, Putrajaya perlu proses permohonan lebih meluas yang membolehkan latar keluarga pemohon diteliti dan bukan sekadar berpandukan keputusan SPM.
Ini kerana ramai mengetahui pelajar daripada keluarga berkedudukan dan berpengaruh juga mampu memperoleh biasiswa sementara pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di luar bandar keciciran, katanya.
Seorang lagi tokoh pendidikan Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, pengurangan biasiswa ini mencerminkan era apabila keluarga kaya tidak lagi boleh berharap kepada kerajaan untuk membiayai pendidikan anak mereka.
"Biasiswa tak boleh dilihat sebagai hak tetapi keistimewaan.
"Jika ibu bapa ambil berat pendidikan anak mereka, mereka perlu menabung," kata Azimah yang aktif dengan Parent Action Group for Education (PAGE). – 30 Januari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments