mengharamkan program “Let's Read The Quran” tidak berunsur politik walaupun ia melibatkan sokongan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, kata salah seorang ahli panel program itu, Datuk Syed Akbar Ali.
Tindakan Kementerian Dalam Negara (KDN)Beliau berkata, penganjur program tersebut sebenarnya menjemput bekas perdana menteri itu merasmikan acara terbabit sebelum kemuncak isu politik Dr Mahathir, yang baru-baru ini meninggalkan Umno dan memulakan kempen anti Najib pada Jumaat lalu.
"Saya rasa tidak ada motif politik kerana kita sudah menjemput berbulan lama, namun ditangguhkan kerana Dr Mahathir ini orangnya selalu sibuk. Tidak ada kena mengena dengan insiden (politik beliau)," katanya kepada The Malaysian Insider.
Syed Akbar, yang juga merupakan blogger berkata, semasa majlis perasmian program yang menggalakkan orang ramai membaca al-Quran dalam bahasa difahami mereka itu, Dr Mahathir hanya menyentuh mengenai ayat al-Quran berkaitan penyatuan umat Islam.
"Ketika perasmian, beliau hanya menekankan isu jangan ada perpecahan di kalangan orang Islam. Katanya, meskipun orang Islam mempunyai pelbagai mazhab, namun akhirnya tetap merujuk pada satu iaitu al-Quran.
"Keduanya, beliau juga tekankan orang Islam tidak semestinya kenal dengan al-Quran kerana kita hanya baca, tapi tidak kaji apa mesejnya, tidak memahami maksudnya. Kita baca tetapi tidak faham.
"Beliau kata, kalau kita faham apa maksud ayat al-Quran, tidak adalah ketegangan berlaku," katanya.
Dr Mahathir pada 20 Februari merasmikan kempen Let's Read The Quran anjuran Zubedy (M) Sdn Bhd di Kuala Lumpur, yang menggalakkan orang ramai membaca dan memahami al-Quran menggunakan media sosial sebagai saluran.
Pada 1 Mac, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang sebarang pencetakan dan penjualan naskhah terjemahan al-Quran tanpa teks bahasa Arab.
Katanya, perkara itu diputuskan mesyuarat Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) dan selaras keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam ke-24 pada Jun 1989.
Susulan itu, pada 3 Mac, Pengerusi LPPPQ Tan Sri Harussani Zakaria berkata pihaknya dan pihak berkuasa agama Islam seluruh negara akan mengambil tindakan tegas menyekat kempen Let's Read The Quran.
Ini kerana, katanya menulis dan membaca naskhah al-Quran dalam bahasa lain selain bahasa Arab adalah dilarang dan penulisan dalam bahasa lain tanpa teks bahasa Arab tidak boleh dianggap sebagai al-Quran.
"Perbuatan ini boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Pencetakan Teks al-Quran (APTQ) 1986 dan Akta Mesin Cetak (AMCP) 1984," katanya dalam satu kenyataan.
Mengakui keliru dengan tindakan KDN itu, Syed Akbar yang terkenal dengan suara kritisnya mempersoalkan pengharaman itu kerana ia bukan pertama kali acara tersebut dianjurkan dengan konsep sama.
Apa yang lebih menghairankan katanya, alasan KDN mengharamkan program tersebut kerana melarang hanya membaca terjemahan al-Quran tanpa teks bahasa Arab sedangkan katanya, pada masa sama, wujud buku terjemahan seperti itu di pasaran.
"Kita boleh jumpa buku seperti itu di kedai buku. Tidak ada bahasa Arab. Jadi, bila KDN kata terjemahan kena ada bahasa Arab, kita keliru. Kenapa sekian lama baru timbul isu ini?" soalnya.
Sementara itu penganjur program itu, Anas Zubedy berkata kepada The Malaysian Insider, beliau sebenarnya tidak mengetahui apakah larangan pengharaman KDN melibatkan program atau konsep terjemahan al-Quran itu.
"Kita tidak tahu apa yang mereka haramkan. Seperti saya nyatakan dalam kenyataan media, pihak kami sudah menghubungi KDN, menghantar surat meminta garis panduan yang mereka kehendaki," katanya.
Ahli perniagaan itu berkata, pihaknya tidak ada masalah mengubah konsep program tersebut agar selari dengan garis panduan KDN.
"Kalau mereka nak minta kita masukkan bahasa Arab dalam terjemahan kita, kita tidak ada masalah untuk ubah. Matlamat kita cuma mahu menggalakkan orang membaca al-Quran, memahami, menghayati dan mengamalkannya.
"Kerana kalau bahasa Arab sahaja, tidak ramai yang faham. Contohnya, orang Melayu, Cina, mereka tidak faham (bahasa Arab), tetapi kalau membaca mengikut tafsiran bahasa yang mereka ketahui, mereka akan lebih faham. Itu matlamat program ini," katanya.
Anas berkata buat masa ini, pihaknya masih belum menerima maklum balas daripada KDN, namun sebagai inisiatif sendiri, beliau kini memastikan segala terjemahan akan disertakan dengan teks bahasa Arab.
Katanya, program tersebut sebenarnya pertama kali dianjurkan pada 2009, diikuti pada Ramadan tahun lepas dan tahun ini, selama sebulan dari 1 Mac.
Pihaknya malah menyasarkan acara itu hingga ke peringkat antarabangsa dan program itu juga tidak hanya terhad kepada umat Islam semata-mata.
"Orang bukan Islam juga dialu-alukan menyertai kempen.
"Sebagai contoh, kita menjemput Ketua Paderi Malaysia Bishop Julian Liow Beng Kim menghadiri program kita.
"Jangan terkejut, bukan hanya umat Islam sebenarnya yang membaca al-Quran, tetapi ada juga pihak lain," katanya. – 7 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments