Bahasa

Bollywood bawa pluralisme, K-pop bawa Kristianisasi, kata timbalan mufti Perak

Konsert artis K-pop B1A4 baru-baru ini dikecam apabila beberapa remaja perempuan Islam yang bertudung dipeluk dan dicium di atas pentas ketika persembahan. – Gambar Facebook, 12 Januari, 2015.Konsert artis K-pop B1A4 baru-baru ini dikecam apabila beberapa remaja perempuan Islam yang bertudung dipeluk dan dicium di atas pentas ketika persembahan. – Gambar Facebook, 12 Januari, 2015.Budaya hiburan dari Korea Selatan atau K-pop membawa pakej yang merbahaya kepada umat Islam kerana menyebarkan fahaman liberalisme dan Kristianisasi, kata Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim.

Beliau berkata, dengan tersebarnya budaya berkenaan tembok keimanan umat Islam sedang ditanggalkan satu demi satu jika tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa.

“Bollywood membawa fahaman pluralisme agama maka K-pop membawa sekali fahaman liberalisme dan Kristianisasi," kata Zamri yang juga ahli Majlis Ulama Isma (Muis) dalam satu kenyataan hari ini.

“Kajian rambang yang dilakukan mendapati hampir 80% daripada artis K-pop beragama Kristian. Selebihnya terdiri daripada golongan atheis, Buddha dan kepercayaan animisme. 

“Kebanjiran filem Korea di stesen TV di Malaysia juga menyumbang kegilaan remaja wanita kepada artis ini,” katanya. 

Zamri berkata, ibu bapa perlu mengawasi anak mereka daripada teruja dengan budaya K-pop.

Katanya, gadis yang terlibat memeluk artis K-pop pada minggu lalu perlu bertaubat dan bertekad untuk tidak mengulanginya.

“Ambillah budaya yang baik daripada orang Korea seperti rajin bekerja, sayangkan identiti diri dan lain-lain. 

“Jangan jadikan perbuatan kalian menjadi fitnah kepada rakan muslimah lain yang bertudung. Sesungguhnya wanita yang bertudung sepatutnya menjaga maruah.

 “Sesungguhnya wanita muslimah itu sudah mulia dengan Islam, mereka tidak memerlukan kepada kerendahan serta kehinaan hawa nafsu,” katanya. 

Konsert artis berkumpulan K-pop yang menggelar diri mereka B1A4 mencuri perhatian pengguna media sosial apabila beberapa gadis Melayu yang bertudung dipeluk dan dicium ketika mereka membuat persembahan.

Video berdurasi lebih 3 minit itu disiarkan di laman Facebook Sukan Star TV semalam yang dirakam ketika satu konsert B1A4 di pentas KL Live di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada malam Sabtu. 

Zamri berkata, insiden minggu lalu membuktikan arus ganas liberalisme yang menjadikan kehendak serta hawa nafsu manusia menjadi fokus utama remaja perempuan Islam berkenaan. 

Katanya, isu yang mencemarkan Islam itu akan berterusan dengan penampilan barisan peguam pejuang hak asasi dibaca pejuang nafsu manusia terus melakukan penentangan. 

“Apa juga agensi yang ditubuhkan untuk menguatkuasakan undang-undang yang menghadkan kehendak individu akan dikritik dengan hebat kerana bagi mereka agensi ini akan menghalang gelombang ini daripada terus berkembang.

“Jakim sudah mengeluarkan satu Garis Panduan Hiburan Dalam Islam sejak 2007 tetapi arus liberalisme ini menganggap garis panduan ini tidak berhak menghadkan kebebasan individu,” katanya. – 12 Januari, 2015.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments