Dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Datuk Seri Azalina Othman wujudnya konspirasi ekoran pendedahan Tan Sri Muhyiddin Yassin diberi taklimat bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail merupakan tuduhan tidak logik dan tidak berasas, kata PKR.
Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran berkata, Azalina dengan jelas menyalahgunakan terma “rampasan kuasa” yang membawa konotasi serius.
Surendran berkata, rampasan kuasa diertikan sebagai mengambil alih kekuasaan secara tidak sah dan memandangkan peguam negara mempunyai kuasa mengikut Perlembagaan, adalah tidak masuk akal mencadangkan wujudnya percubaan itu.
"Dalam erti kata lain, menjalankan tugas mengikut Perlembagaan tidak langsung boleh disamakan dengan rampasan kuasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam Azalina berkata, pengakuan Muhyiddin itu membuktikan terdapat konspirasi peringkat tertinggi untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan ianya bertentangan dengan amalan demokrasi dan keputusan rakyat pada pilihan raya umum lepas.
Azalina berkata, hakikat peguam negara secara peribadi memberi taklimat dan berkongsi maklumat undang-undang sulit dengan Muhyiddin yang merupakan menteri dan ahli Umno jelas mempunyai kepentingan, bukan sahaja tidak beretika tetapi juga melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Surendran berkata, sekiranya pemimpin pembangkang atau rakyat jelata yang membuat tuduhan serius seperti itu, tidak mustahil pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) pro Umno akan membuat laporan polis menggunakan alasan ianya menimbulkan ketegangan rakyat atau wujudnya jenayah fitnah.
Menjelaskan hal itu, pengasas Pertubuhan Lawyers of Liberty (LFL) itu berkata, peguam negara mempunyai kuasa memaklumkan kepada timbalan perdana menteri sebagai orang nombor 2 paling tinggi dalam negara sekiranya terdapat sebarang bukti salah guna kuasa dilakukan perdana menteri.
"Ini kerana sebarang tindakan menggugat kedudukan perdana menteri akan memberi kesan kepada pentadbiran negara.
"Disebabkan itu timbalan perdana menteri tidak boleh dibiarkan tidak mempunyai pengetahuan dalam hal ini," katanya.
Surendran berkata dokumen yang dikelaskan sebagai rahsia rasmi didefinasikan dalam Jadual OSA 1972 dan ini termasuk kertas Kabinet dan exco, dokumen berhubung keselamatan negara, pertahanan dan hubungan antarabangsa.
“Dokumen tentang sebarang pendakwaan dilakukan peguam negara bukanlah rahsia rasmi.
“Menteri harus faham bukan semua dokumen kerajaan merupakan rahsia rasmi.
“Tambahan pula, taklimat itu diberikan kepada timbalan perdana menteri yang mempunyai hak untuk diberikan taklimat melibatkan rahsia rasmi.
“Seorang menteri kerajaan yang bertanggungjawab tidak akan memandang ringan pertuduhan berat seperti itu.” – 28 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments