Kementerian Pendidikan Tinggi akan mencari mekanisme terbaik menyelesaikan isu profesor berstatus kontrak di universiti awam yang ditamatkan perkhidmatan, kata Datuk Seri Idris Jusoh.
Menteri pendidikan tinggi itu berkata, ini termasuk mempertimbangkan cadangan melanjutkan tempoh persaraan bagi kumpulan akademik itu pada masa depan.
Sebelum ini, dilaporkan seramai 156 atau 33% daripada 507 profesor berstatus kontrak berusia 61 hingga 70 tahun di universiti awam tidak dilanjutkan perkhidmatan mereka kesan daripada pengecilan bajet di institusi berkenaan.
“Satu mesyuarat bersama Majlis Profesor Negara (MPN) diadakan hari ini (semalam) bagi memperhalusi cadangan ini serta mencari penyelesaian terbaik terhadap isu berbangkit,” katanya seperti dilaporkan akhbar Berita Harian.
Katanya, pelaksanaan cadangan itu bagaimanapun perlu mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Menurut akhbar Kosmo sebelum ini, memetik Ketua Pegawai Eksekutif MPN Prof Datuk Dr Raduan Che Rose sebagai berkata, mengikut profil MPN, lebih separuh daripada profesor di negara ini kini berumur dalam lingkungan 55 tahun dan melihat pada usia itu mereka hanya mempunyai 5 tahun untuk berkhidmat dan menyumbang kepakaran masing-masing kepada generasi baharu.
Akhbar itu melaporkan, Malaysia mempunyai 2,254 profesor dengan 1,867 berkhidmat di 20 buah universiti awam manakala bakinya di universiti swasta.
Putrajaya dikatakan perlu membelanjakan hingga RM3 juta untuk melahirkan setiap ahli akademik bertaraf profesor. – 2 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments