Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur berhubung isu skandal pembelian hartanah Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Australia.
Pengarah NOW Akmal Nasil mendakwa, laporan polis itu dibuat susulan kegagalan Mara menyelesaikan skandal itu walaupun pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa sendiri memberi jaminan mengambil tindakan yang sewajarnya sejak skandal itu terbongkar, kira-kira 8 bulan yang lepas.
"Laporan polis ini dibuat bagi menyerahkan dokumen-dokumen yang difailkan di mahkamah di Australia sebagai asas siasatan dan bukti penglibatan individu-individu tersebut.
"Dokumen-dokumen tersebut adalah 'Statement of Claim' dan senarai invois seperti yang didedahkan (Setiausaha Agung PKR) Rafizi Ramli sebelum ini," kata Akmal, dalam kenyataannya, hari ini.
Skandal itu mendedahkan Mara "terlebih bayar" sebanyak RM129 juta untuk pembelian hartanah di Australia.
Akmal berkata, beliau dan Fahmi Zainol membuat laporan polis itu pada jam 3.50 petang tadi.
Beliau berkata, melalui laporan itu juga, pihaknya mengharapkan agar pihak polis menyiasat sekiranya terdapat unsur-unsur pecah amanah (CBT) terutamanya jika melibatkan pengurusan tertinggi Mara atau penglibatan mana-mana ahli politik.
"Laporan polis ini dibuat sebagai usaha untuk mencari jalan agar wang 'terlebih bayar' ini dalam dikembalikan kepada Mara.
"Laporan polis dibuat bagi membela kebajikan dan nasib rakyat terutamanya anak-anak muda mahasiswa dan usahawan Melayu serta Bumiputera yang layak dan sepatutnya dibantu Mara," katanya, dalam kenyataan itu. – 18 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments