Bahasa

Dasar pekerja asing Malaysia acuh tak acuh

Kesatuan dan kumpulan perdagangan berkata kegagalan yang berlaku sekali lagi dalam perkara pengambilan pekerja asing menunjukkan Putrajaya tiada polisi jangka panjang yang jelas dan konsisten dalam kes seumpama itu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Februari, 2016.Kesatuan dan kumpulan perdagangan berkata kegagalan yang berlaku sekali lagi dalam perkara pengambilan pekerja asing menunjukkan Putrajaya tiada polisi jangka panjang yang jelas dan konsisten dalam kes seumpama itu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Februari, 2016.Kemelut baru-baru ini mengenai cara Putrajaya mengendalikan 1.5 juta pekerja Bangladesh yang kononnya akan dibawa masuk ke Malaysia sekali lagi mencuri tumpuan.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana keberkesanan dan tersusunnya polisi prosedur pengambilan pekerja asing negara ini.

Kesatuan dan kumpulan perdagangan berkata kegagalan yang berlaku sekali lagi menunjukkan betapa Putrajaya tiada polisi jangka panjang yang jelas dan konsisten dalam kes pekerja asing.

Keadaan ini terjadi walaupun pentadbiran Najib berulang kali berikrar mahu mengekang syarikat Malaysia daripada ketagihannya mengambil pekerja asing yang murah.

Apabila beberapa menteri memberi pendapat berbeza-beza mengenai rancangan itu, ia menimbulkan kesangsian wujud "state capture" – keadaan di mana wujud rasuah politik yang sistemik di mana kepentingan peribadi dengan ketara mempengaruhi proses membuat keputusan sesebuah negara bagi meraih faedah untuk diri mereka sendiri melalui saluran tidak ketara, yang mungkin tidak menyalahi undang-undang.

Kelihatan seperti, kepentingan swasta yang rapat dengan Putrajaya sedang mempengaruhi dasar kerajaan bagi memperoleh berbilion ringgit dalam industri bekalan tenaga kerja yang lumayan.

Kenyataan bercanggah

Setelah kini orang ramai dimaklumkan tidak semua 1.5 juta pekerja Bangladesh akan dibawa masuk ke Malaysia, persoalan utama yang timbul adalah mengapa Putrajaya tidak menghebahkannya lebih awal, apabila Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi buat pertama kali mengumumkan rancangan itu pada Jun tahun lepas.

Sehingga minggu lepas, Putrajaya menerima kritikan terhadap rancangan itu dari pelbagai kumpulan, termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) – 2 kumpulan yang selama ini sering tidak sependapat berkaitan dengan isu buruh.

Mereka mendakwa Malaysia mempunyai kira-kira 2 juta pendatang asing tanpa izin (Pati) dan lebih 143,000 pelarian yang boleh diserap ke dalam sistem bagi mengisi kekosongan pekerjaan dalam pelbagai industri seperti perladangan, pembuatan dan perkhidmatan.

Terdapat juga dakwaan individu yang rapat dengan Umno cuba mendapat keuntungan daripada pengambilan ini melalui pemilikan sistem dalam talian bagi memproses pengambilan pekerja ini.

Setiausaha Agung MTUC N Gopal Kishnam juga menegaskan rancangan itu bertentangan dengan Rancangan Malaysia Ke-11 ini yang mahu mengehadkan jumlah warga asing dalam sektor buruh kepada 15% pada 2020.

Pelan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh itu sebaliknya boleh meningkatkan jumlah pekerja asing sehingga 20%.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider, Presiden MEF Datuk Shamsuddin Bardan menganggarkan pekerja asing menghantar RM30 bilion keluar dari negara ini pada 2014.

Namun, Putrajaya tidak mempedulikan kritikan itu selama lebih 6 bulan dan terus mempertahankan rancangan itu, sehingga Jumaat lalu apabila Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot memberikan penerangan yang paling jelas – 1.5 juta itu, katanya, bukan semua akan dihantar ke Malaysia.

Jumlah itu, katanya, merupakan bilangan warga Bangladesh yang mendaftar dengan kerajaan mereka untuk dibekalkan kepada 139 negara.

Tambah mengelirukan, Zahid beberapa jam selepas itu mengumumkan penangguhan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber, termasuk Bangladesh.

Tujuan pembekuan itu adalah untuk menyelesaikan program penggajian semula dan pembersihan Pati bagi membantu Putrajaya menilai semula keperluan buruh asing dalam setiap industri. 

"Dua menteri berkelulusan PhD tidak mampu mendapatkan fakta yang betul. Tahap kompetensi di kalangan pemimpin Barisan Nasional kini bertambah membimbangkan," kata Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng ketika mengulas pendedahan Riot itu.

Keadaan itu menimbulkan persoalan adakah Putrajaya membuat pusingan U susulan kritikan diterima ataupun rakan Kabinet Zahid sengaja membiarkan beliau terus mengulangi kesilapan dan dihentam kerana itu.

Lebih banyak percanggahan

Bagaimanapun, kegagalan rancangan membawa masuk 1.5 juta pekerja itu bukan satu-satunya keadaan yang menggambarkan kelemahan Putrajaya dalam menyelaras pekerja asing.

Dalam penambahbaikan Bajet 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan program pendaftaran pekerja asing bagi majikan yang menggunakan khidmat Pati supaya mereka digaji secara sah dengan kos RM1,200 setiap seorang.

Dalam laporan BloombergTV, Shamsuddin berkata, tiada syarikat akan mengakui mereka menggunakan khidmat Pati dan sanggup membayar levi RM1,200 dalam usaha mendaftarkan pekerja mereka secara sah.

Terdapat juga persoalan mengapa perlu ada satu lagi program mendaftar Pati memandangkan Putrajaya baharu saja menamatkan inisiatif yang sama dipanggil program 6P kurang 2 tahun lalu.

Kira-kira 520,000 permit kerja sah dikeluarkan dalam program 6P itu yang berjalan dari 2011 hingga 2014.

Menurut BloombergTV, Pati yang masih ada selepas 6P itu sepatutnya ditangkap dan dihantar pulang.

Namun, bukannya pengusiran yang dibuat, sebaliknya Putrajaya kini mengumumkan program pendaftaran semula mereka yang akan berlangsung sehingga 31 Disember.

Pada masa sama, ia menandatangani perjanjian dengan Bangladesh bagi pengambilan pekerjanya.

Tiadanya penyelarasan dalam perkasa asas dan ketidakupayaan pegawai awam memberi penjelasan yang tepat dan jelas kelihatan menyokong nasihat pakar buruh meletakkan pengambilan pekerja asing di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia, daripada Kementerian Dalam Negeri, sejak mereka diminta menggubal dasar pekerjaan.

Mungkin apa yang diperlukan, seperti kata Gopal Kishnam, ialah penubuhan suruhanjaya diraja atau jawatankuasa pilihan Parlimen untuk industri pekerja asing bagi memahami mengapa kegagalan ini berlaku dan bagaimana ia boleh dihentikan untuk selamanya. – 21 Februari, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments