Perdebatan antara Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin yang dijadualkan Rabu ini sebaiknya diadakan secara tertutup, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau dilaporkan Sinar Online hari ini berkata, ia bagi mengelakkan fitnah dan mudarat melibatkan orang awam yang mungkin sukar memahami dan menerima perbezaan antara 2 fahaman yang ditegakkan 2 pemimpin agama itu.
Katanya, kehadiran peserta pada program itu tidak perlu dibuka kepada umum, sebaliknya hanya perlu dibuka kepada golongan ulama dan cendekiawan sahaja.
“Pandangan saya lebih molek program ini diadakan secara muzakarah mahabbah atau perbincangan harmoni secara tertutup.
“Polemik yang tercetus seolah-olah program ini bagaikan suatu pentas perdebatan untuk menentukan siapa juara hujah juga hanya akan mengelirukan bahkan memberikan gambaran tidak baik terhadap ulama dan Islam secara umumnya,” beliau dipetik berkata dalam satu kenyataan.
Asyraf dilaporkan berkata, perbezaan ideologi dan fikrah tidak akan mungkin dapat diselesaikan dalam satu majlis, apatah lagi jika dilaksanakan secara terbuka.
“Lebih membimbangkan jika kalangan pengikut yang taksub, tidak mampu menerima pandangan berbeza atau bersetuju untuk tidak bersetuju.
“Sebab itulah bagi saya adalah lebih wajar forum seperti ini diadakan secara tertutup dengan dihadiri golongan ulama, ahli ilmu dan cendekiawan dengan harmoni dan penuh berlapang dada,” katanya.
Asri dan Zamihan dikatakan bakal berdepan antara satu sama lain menerusi satu wacana anjuran Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.
Asyraf dalam kenyataannya juga menekankan matlamat penganjuran program tersebut yang seharusnya bersifat mendidik masyarakat belajar memahami perbezaan dan bertoleransi menerima pandangan berbeza.
“Saya rasa tak sihat apa yang dah tersebar dalam media sosial, seolah-olah satu debat antara Asri yang mewakili satu fahaman, dengan Zamihan satu lagi fahaman,” katanya.
Sebelum ini, Asri berkata beliau setuju menerima cabaran Zamihan berdebat isu ekstremisme agama bertujuan memberi penjelasan kepada orang ramai, bukan bagi menentukan siapa menang, siapa kalah.
Sesi wacana bertajuk "Ekstremisme Agama di Malaysia: Satu Perbincangan" itu dirancang diadakan di Auditorium Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, menampilkan Pengarang Astro Awani, Nazri Kahar sebagai moderator.
Sebelum ini, Zamihan dilaporkan sedia mengambil tindakan undang-undang dan mengadakan perdebatan dengan Asri sekiranya mufti itu terus mengaitkan dirinya dengan elemen pro Syiah, ekstremis takfir dan sesat.
Melihat keadaan kian meruncing, Shahidan menerusi posting di Facebook mencadangkan keduanya hadir dalam satu program wacana bagi menjernihkan keadaan. – 7 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments