Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata program perdebatan antara Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin Al-Ghari tidak perlu diadakan.
Sebaliknya, beliau meminta diskusi itu diadakan secara tertutup sekiranya wujud keperluan mendesak untuk berbuat demikian.
"Malah, diskusi itu perlu diadakan dengan harmoni, mengambil kira pandangan ulama sunni yang muktabar (terhormat), elakkan tuduh-menuduh, mengekalkan semangat persaudaraan dalam Islam dan menyelesaikan pertikaian melalui kerangka ilmu menerusi diskusi tertutup itu saja," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.
Jamil berkata Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang bergerak seiring dengan pandangan ulama muktabar di seluruh dunia yang berpegang teguh kepada aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Prinsip akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah menekankan nilai kesederhanaan (wasatiyyah) dan sentiasa berpandangan terbuka terhadap perkara-perkara furu'iyyah (perbezaan) di dalam Islam serta mengelakkan permusuhan dan persengketaan sesama Islam, katanya.
Media melaporkan perdebatan itu, bertajuk “Ekstremisme Agama di Malaysia: Satu Diskusi”, akan diadakan pada 9 malam, Rabu ini di Jabatan Perdana Menteri. – Bernama, 12 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments