Program Dwi Bahasa (DLP) dicipta mereka yang sebenarnya mahu melihat nilai dan budaya bahasa Inggeris menjadi budaya hidup rakyat Malaysia, kata Pengerusi Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) Profesor Emeritus Shaharir Mohamad Zain.
Katanya, niat sebegitu sekali gus meminggirkan nilai kemelayuan yang disemai dalam masyarakat.
"Program ini dicipta sekelompok manusia yang memang mahu menjadikan bahasa Inggeris sebagai satu budaya hidup – bahasa Melayu tidak ada tempat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika bercakap pada seminar “Isu DLP: Ancaman Pada Dasar Negara?” di Universiti Selangor, Shah Alam hari ini.
Profesor matematik itu yang kini aktif berkempen menolak DLP menerusi gerakan MansuhDLP kesal kerana pelaksanaan program itu tidak mengambil kira pandangan sarjana yang mengajar bidang pengkhususan mereka.
"Program DLP ini kita boleh tolak kerana ia tidak dirunding dengan pihak yang memang amat prihatin kepada pendidikan misalnya ahli dan sarjana dalam bidang kimia, fizik dan matematik.
"Perlu dirunding dengan mereka ini, adakah dengan bahasa Inggeris ini akan lebih baik lagi kefahaman pelajar?" katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan kesal dengan pelaksanaan DLP yang dakwanya hanya berani dilaksanakan kerajaan ke atas sekolah kebangsaan.
"Pada kami, bahasa Melayu untuk mengajarkan ilmu, tiada masalah. Ia memang sudah berjaya.
"Apabila diisytiharkan PPSMI, dan sekarang mahu dilaksanakan DLP, yang sebenarnya dikeroyok itu adalah sekolah kebangsaan Melayu.
"Sekolah Cina itu, pegawai kita di Kementerian Pelajaran tidak berani sentuh pun," katanya.
Katanya, Al-Quran sendiri tidak pernah melarang penggunaan bahasa ibunda dalam penyebaran ilmu.
"Di dalam Al-Quran, kita tidak menghalang bahasa ibunda itu digunakan, gunakanlah.
"Dan apabila Allah itu mencipta bahasa Melayu, salahkah bahasa Melayu itu digunakan?
"Itu yang dikatakan pemerintah – bahasa Melayu itu tidak sesuai untuk sains dan matematik. Alangkah biadabnya kepada Allah," katanya.
DLP diperkenalkan dalam Bajet 2016 ialah sebuah program sukarela yang dijalankan di 300 sekolah di seluruh negara dan pelajar tertentu diajar 4 mata pelajaran dalam bahasa Inggeris.
Penyertaannya ketika ini adalah secara pilihan dan ia mesti mendapat persetujuan ibu bapa, guru dan pelajar.
Ia dijalankan bagi kelas Tahun Satu, Tahun Empat dan Tingkatan Satu di sekolah terpilih. Pelajar diajar 4 mata pelajaran dalam bahasa Inggeris, iaitu Matematik, Sains, Reka Bentuk Kreatif dan Teknologi Maklumat. – 5 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments