Ramalan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) yang mendakwa Umno kini “sudah tua dan bakal mati” ditempelak pemimpin parti itu dan enggan menerima kenyataan yang dibuat di akhbar Utusan Malaysia itu.
Mereka berkata, perdana menteri paling lama berkhidmat yang bersara pada 2003 itu seharusnya sedar Umno kini dalam proses transformasi dan pembaharuan.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi melihat permasalahan yang dilontarkan Dr Mahathir berlaku sejak zaman bekas perdana menteri itu menjadi presiden Umno dari 1981 hingga 2003.
“Umno wujud dari dahulu lagi dan terpalit dengan pelbagai masalah sejak Dr Mahathir menerajui Umno dan beliau tidak pula merawat kecederaan itu,” kata Dr Mohd Puad kepada The Malaysian Insider.
Katanya, antara gejala dalam Umno adalah perpecahan, tidak meletakkan keutamaan kepada parti dan politik wang.
Dr Mohd Puad berkata, kenyataan Dr Mahathir tidak boleh diterima apabila mengatakan Umno akan mati sedangkan kepimpinan parti sedang gigih merawat kepincangan yang berlaku.
“Selagi Umno tidak lari dari masalah dan memegang prinsip kesederhanaan, menyeluruh dan keadilan untuk semua kaum, Umno akan selamat,” katanya.
Dalam sebuah rencana yang disiarkan akhbar milik Umno Utusan Malaysia, Dr Mahathir menasihati Umno supaya melantik pemimpin muda kerana parti itu sedang menghidap "sakit tua" dan bakal "mati".
Katanya, dengan pemimpin muda, Umno akan dapat meneruskan legasi memerintah negara ini meskipun ada pihak yang memandang serong malah menuduh dirinya mempunyai agenda sendiri.
Beliau berkata, Umno dahulu sentiasa bersemangat dan bercita-cita besar demi bangsa termasuk menewaskan Malayan Union kerana pemimpin mereka kebanyakannya adalah golongan muda.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang juga ahli MT Umno berkata, pemimpin muda seperti Datuk Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan lain-lain adalah bukti Umno kini menyerlahkan bakat muda dalam kepimpinannya.
“Prinsip parti jelas meletakkan bakat muda di enjin kedua parti iaitu di sayap Pemuda dan Puteri. Apabila mereka ini mencecah usia 40 tahun, mereka akan diserap ke dalam Majlis Tertinggi bagi mewarisi kepimpinan parti.
“Dr Mahathir mungkin silap. Saya sendiri hormat dan menjadikan dirinya sebagai idola. Bagi saya, beliau terlepas pandang dengan pembaharuan yang dilakukan dalam parti,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga ahli MT Umno menyifatkan apa yang disarankan Dr Mahathir adalah satu pandangan bagi melihat perubahan dalam Umno secara terbuka dan dinamik.
Katanya, Dr Mahathir mempunyai pengalaman dan pandangan yang luas tetapi beliau harus sedar Umno kini sedang dalam proses transformasi.
“Saya hormat pandangan Dr Mahathir. Bagi saya keinginan pemimpin Umno untuk berubah dapat dilihat daripada segi keberaniannya meletakkan untung nasib kepada 150,000 perwakilan semasa pemilihan parti bulan hadapan,” katanya. – 17 September, 2013.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments