Bahasa

Dr Mahathir, pemimpin BN kecam Putrajaya guna Sosma terhadap pengkritik

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) berbual dengan pemimpin Barisan Nasional lain yang turut hadir pada sidang media di Putrajaya, pagi ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 12 Oktober, 2015.Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) berbual dengan pemimpin Barisan Nasional lain yang turut hadir pada sidang media di Putrajaya, pagi ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 12 Oktober, 2015.Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) hari ini berganding bahu mengkritik Putrajaya kerana menggunakan undang-undang keselamatan baharu ke atas 2 individu kerana dikatakan cuba mensabotaj ekonomi, mengatakan ia sebenarnya digunakan terhadap pengkritik kerajaan.

Mereka menggesa Putrajaya membebaskan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang daripada pendakwaan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma.

“Mereka (Putrajaya) mendefinisikan sabotaj ekonomi bergantung kepada keperluan mereka,” kata Dr Mahathir pada satu sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini yang turut dihadiri bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kumpulan bekas pemimpin negara itu berkata, kerajaan tidak seharusnya menyalah gunakan akta berkenaan kerana kedua-dua mereka tidak melakukan kesalahan keganasan. 

“Kedua-dua warganegara ini mestilah dibebaskan serta-merta dan pihak berkuasa memberikan jaminan tiada sesiapa lagi akan ditahan di bawah Sosma hanya kerana menyatakan pandangan, pendapat, kritikan, serta mengambil apa-apa tindakan yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara,” menurut kenyataan mereka. 

Selain Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno, turut hadir ialah naib presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Sanusi Junid serta bekas presiden MCA Tan Sri Ong Tee Keat. 

Dalam kenyataannya itu, Dr Mahathir berkata tindakan Khairuddin membuat laporan berkenaan kesalahan jenayah di dalam negara seperti didakwanya berlandaskan kepada prinsip demokrasi.

“Chang adalah peguam yang mengiringi Khairuddin membuat laporan mengenai dakwaan salah laku 1MDB kepada pihak berkuasa di dalam dan luar Malaysia. Tindakan ini tidak bercanggah dengan undang-undang mana-mana negara dan tidak boleh dianggap sebagai ancaman kepada ketenteraman dan keselamatan awam yang dilindungi Sosma.

“Malah, laporan dibuat Khairuddin mengikut lunas demokrasi serta hak dijamin mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi,” katanya.

Khairuddin dan Chang didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan melakukan cubaan mensabotaj ekonomi, sistem kewangan dan perbankan Malaysia.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Perancis, United Kingdom, Hong Kong dan Singapura di antara 28 Jun dan 26 Ogos tahun ini.

Tiada pengakuan direkodkan ketika kedua-duanya didakwa di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin kerana hakim tiada bidang kuasa mendengar kes berkenaan memandangkan ia kesalahan keselamatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sehingga 15 tahun jika disabitkan kesalahan.

“Oleh kerana tiada undang-undang dapat digunakan untuk menahan dan menangkap orang yang membuat laporan, maka digunakan satu undang-undang digubal bertujuan memelihara keselamatan negara dan ketenteraman awam serta memperuntukkan satu hukuman berat untuk membuat tahanan dan penangkapan.

”Justeru kami menegaskan penahanan Chang dan Khairuddin di bawah Sosma satu bentuk penyalahgunaan undang-undang pihak berkuasa yang jelas bercanggah dengan tujuan undang-undang ini diluluskan Parlimen,” kata kenyataan mereka.

“Ia menyekat hak dan kebebasan individu untuk mengambil suatu tindakan yang sah dalam sebuah negara yang menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.”

Dr Mahathir berkata, sehubungan itu, Chang dan Khairuddin seharusnya dibebaskan kerana kedua-duanya bukan pengganas.

“Jangan tahan rakyat di bawah Sosma kerana Sosma untuk pengganas. Adakah Chang dan Khairuddin pengganas? Mereka hanya melaporkan salah laku kerajaan kepada pihak berkuasa di dalam dan luar negara membabitkan penggubahan wang haram.

“Mereka melaporkan apa yang mereka rasakan adalah jenayah. Oleh itu, adakah dengan sebab itu mereka ditahan dan disoal siasat? Ini salah guna kuasa,” kata Dr Mahathir. – 12 Oktober, 2015.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments