Bahasa

Dr Mahathir sedia sumpah depan Al-Quran jika diminta

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedia angkat sumpah bersaksikan Al-Quran, jika ada pihak menganggap kenyataan yang dikeluarkannya berunsur fitnah atau tidak betul. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 20 Februari, 2016.Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedia angkat sumpah bersaksikan Al-Quran, jika ada pihak menganggap kenyataan yang dikeluarkannya berunsur fitnah atau tidak betul. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 20 Februari, 2016.Selepas menggesa Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengangkat sumpah bersaksikan Al-Quran, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan kesediaan melakukan perkara sama sekiranya diminta berbuat demikian.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau akan melaksanakannya jika ada pihak menganggap kenyataan yang dikeluarkannya berunsur fitnah atau tidak betul.

"Kalau apa yang saya kata itu disangka fitnah atau tidak betul, suruh saya sumpah, saya kena sumpah lah.

"Kalau saya suruh orang sumpah, saya pun mesti bersedia bersumpah, dengan niat yang betul, bukan niat lain, sumpah lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas melancarkan program Mari membaca Al-Quran di Damansara, Kuala Lumpur hari ini.

Dr Mahathir sebelum ini mencabar Apandi bersumpah menggunakan Al-Quran susulan isu membabitkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia.

Dalam kenyataan di laman blognya awal bulan ini, Dr Mahathir mengecam keputusan Apandi tidak mengambil tindakan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengatakan ia tidak bermakna kerana peguam kerajaan itu seorang yang tiada kredibiliti.

Awal minggu ini beliau sekali lagi menulis di blognya, Apandi tiada kredibiliti kerana menolak laporan Bank Negara dan SPRM mengenai skandal kewangan sekitar 1Malaysia Development Berhad dan wang RM2.6 bilion.

Katanya, cadangan peguam negara mengenakan hukuman penjara seumur hidup kerana membocorkan maklumat kerajaan jelas satu petunjuk yang beliau menyembunyikan kebenaran.

"Sebagai seorang Islam yang baik, dia perlu bersumpah depan Al-Quran dalam masjid, disaksikan pegawai masjid dan orang ramai, mengatakan laporan itu tidak mengaitkan Najib dengan apa cara sekalipun.

"Dia tidak harus cuba menipu dengan mengatakan dalam hatinya sesuatu yang lain, tetapi melafazkan sumpah sesuatu yang lain. Ia akan menjadi dosa berganda," tulis Dr Mahathir.

Apandi pada 26 Januari lalu mendapati tiada bukti yang menunjukkan Najib menyalahgunakan kuasa dalam meluluskan jaminan kerajaan untuk pinjaman RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd.

Beliau berkata tiada bukti menunjukkan Najib terlibat salah laku jenayah berhubung sumbangan RM2.6 bilion itu. – 20 Februari, 2016. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments