Bahasa

Dr Mahathir selar sikap membisu Umno mengenai 1MDB, TPP

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menghadiri Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur baru-baru ini. Beliau berkata perwakilan Umno dan pemimpin negara gagal mempersoalkan beberapa masalah kewangan dan ekonomi yang membelenggu negara. – Gambar The Malaysian Insider, 5 Disember, 2014.Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menghadiri Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur baru-baru ini. Beliau berkata perwakilan Umno dan pemimpin negara gagal mempersoalkan beberapa masalah kewangan dan ekonomi yang membelenggu negara. – Gambar The Malaysian Insider, 5 Disember, 2014.Tun Dr Mahathir Mohamad terus melancarkan serangan ke atas pimpinan negara dengan mempersoalkan kegagalan Putrajaya dan perwakilan perhimpunan agung Umno baru-baru ini menyentuh kontroversi 1Malaysia Development Bhd (1MDB), perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dan pelebaran jurang kekayaan.

Walaupun gembira dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengekalkan Akta Hasutan, Dr Mahathir, yang merupakan antara suara lantang membantah 1MDB, berkata kerajaan membisu terhadap kontroversi syarikat pelaburan milik penuh kerajaan itu.

"Yang membuat tandatanya bukan kenaikan harga elektrik kerana pembelian stesyen janakuasa, tetapi kerana harga belian yang amat tinggi, dibayar dengan duit hutang yang bunganya tertinggi yang pernah dikenakan kepada Kerajaan dan komisyen kepada Goldman Sachs sampai 11%," tulis bekas perdana menteri itu dalam blognya Che Det, hari ini.

"Kenapa pula pelaburan dibuat di Cayman Islands atau wang disimpan di sana?

"Cayman Islands adalah pusat operasi Hedge Fund dan dagangan matawang. Sementara orang atau syarikat biasa gemar melabur dalam Hedge Fund dengan pulangan yang tinggi, Kerajaan biasanya tidak melabur dalam Hedge Fund kerana ia adalah satu jenis judi."

Beliau turut mengingatkan tentang syarikat dana terbesar, Long Term Credit Management (LTCM) yang pernah rugi besar sehingga mengheret bank dan pelabur ke arah muflis, tetapi diselamatkan Wall Street dan kerajaan Amerika Syarikat.

Dr Mahathir sebelum ini mahu Putrajaya menjelaskan bagaimana 1MDB boleh membantu rakyat Malaysia, terutamanya berikutan pendedahan ia mengumpul hutang sejumlah RM38 bilion dalam tempoh hanya 5 tahun sejak mula beroperasi.

Dalam tulisan blognya hari ini, beliau juga membangkitkan isu perjanjian TPP yang tidak disentuh Najib dan pemimpin Umno lain.

"Tidak ada perubahan terhadap niat untuk menandatangani perjanjian bebas cukai Trans Pacific Partnership Agreement. Perjanjian 29 bab ini merbahaya walaupun pengecualian diberi kepada usaha memperbaiki kedudukan bumiputera. Perjanjian ini lebih tertumpu kepada sekatan terhadap Negara Cina dan campurtangan dalam hal ehwal ekonomi dalaman Negara," kata Dr Mahathir.

Tambahnya, tanpa TPP, Malaysia berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi dua angka.

Beliau turut mempersoalkan kegagalan perwakilan Umno membincangkan isu pendidikan.

"Yang kaya pergi ke sekolah Inggeris, mendapat ilmu-ilmu yang penting dan mudah mendapat kerja. Yang miskin ke sekolah Kebangsaan, dengan penguasaan Bahasa Inggeris yang rendah dan ketinggalan dalam bidang sains dan ilmu matematik tinggi. Mereka tidak mudah mendapat kerja dengan upah yang tinggi.

"Dengan ini jarak antara miskin dengan kaya akan menjadi lebih luas," tulisnya. – 5 Disember, 2014.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments