Bahasa

Faktor kumulatif beri kesan ketidaktentuan ringgit, kata Zeti

Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata Malaysia sedang menyusun semula ekonominya dan mempelbagaikan struktur ekonomi kepada perkhidmatan dan pembuatan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 22 Januari, 2016.Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata Malaysia sedang menyusun semula ekonominya dan mempelbagaikan struktur ekonomi kepada perkhidmatan dan pembuatan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 22 Januari, 2016.Ketidaktentuan ringgit merupakan kesan daripada faktor kumulatif termasuk jangkaan penormalan kadar faedah di Amerika Syarikat.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata ia menjejaskan kebanyakan ekonomi negara-negara sedang pesat membangun dan tidak terhad kepada Malaysia.

"Kejatuhan harga komoditi dan tenaga misalnya sekali lagi tidak hanya membabitkan Malaysia. Ada persepsi  Malaysia akan terjejas teruk kerana kita merupakan sebuah ekonomi pengeluar minyak," katanya dalam temu bual 'CNBC Conversation' semasa Forum Kewangan Asia di Hong Kong.

Bercakap kepada pengacara CNBC Asia, Bernard Lo, Zeti menjelaskan Malaysia menyusun semula ekonominya dan mempelbagaikan struktur ekonomi kepada perkhidmatan dan pembuatan.

"Kedua-dua sektor itu menyumbang sebanyak 80% daripada ekonomi kami. Bagi kerajaan, mereka melaksanakan pembaharuan fiskal, rasionalisasi subsidi serta GST (cukai barang dan perkhidmatan)," kata Zeti.

Beliau berkata pergantungan kepada hasil minyak dikurangkan daripada lebih 40% kepada kira-kira 20% manakala defisit fiskal diturunkan sejak beberapa tahun daripada 6% kepada 3.2%.

Katanya, dalam keadaan itu, negara mengurangkan pergantungannya terhadap tenaga sebagai sektor ekonomi penting, dari segi struktur ekonomi, pekerjaan dan pendapatan fiskal, namun pasaran masih tidak pulih.

"Justeru, kita mempunyai persepsi yang setiap kali berlaku pemulihan harga minyak, mata wang akan meningkat.

"Itulah kaitannya dengan mata wang, dan sudah pasti sebarang ketidaktentuan domestik atau ketegangan politik, semua ini menyebabkan kemelut itu, jadi apa kita semua mahu lihat adalah melihat penyelesaian segera kepada semua masalah tersebut," katanya.

Mengenai ekonomi global, beliau berkata ketika ini, terdapat banyak perkembangan berlaku, dan pada masa sama turut mempengaruhi pasaran kewangan.

"Pertama, anda menyaksikan perubahan dasar Bank Rizab Persekutuan...penormalan dasar-dasarnya. Kedua, anda berdepan kejatuhan harga minyak serta berlakunya perkembangan geopolitik.

"Tidak ketinggalan perkembangan di China yang menyaksikan ekonominya semakin perlahan. Perkembangan pasaran kewangan mereka menjejaskan sistem pasaran kewangan global, jangkaan dan sentimen pelabur pasaran kewangan," katanya. – Bernama, 22 Januari, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments