Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan nama pemain bola sepak Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri bagi pencalonan Anugerah Puskas FIFA, selepas beliau melakukan jaringan "luar biasa" mirip gol pemain Brazil, Roberto Carlos.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata beliau difahamkan FAM akan membuat pencalonan itu kepada FIFA minggu depan.
"Pencalonan untuk gol terbaik FIFA perlu dibuat persatuan kebangsaan iaitu FAM, dan saya dimaklumkan Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Muhd Amin yang FAM akan buat pencalonan untuk gol Faiz itu," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program "Moh Bedil" di Majlis Sukan Negara (MSN) di Kuala Lumpur, hari ini.
Anugerah Puskas yang diperkenalkan FIFA pada 2009 ialah anugerah untuk gol terbaik daripada puluhan ribu jaringan gol sepanjang tahun.
Sepakan percuma Mohd Faiz itu mengembalikan ingatan peminat bola sepak kepada gol jaringan pemain Brazil, Roberto Carlos ketika menentang Perancis pada 1997.
Gol hasil sepakan percuma itu dilakukan Mohd Faiz dari jarak 35 meter, melencong masuk ke gawang gol ketika membantu Pulau Pinang menang 4-1 ke atas Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya pada Selasa lepas.
Dalam perkembangan lain, Khairy mengumumkan perancangan awal kementeriannya untuk membina rumah mampu milik bagi bekas atlet di Bukit Jalil dalam fasa kedua pembangunan Bandaraya Sukan Kuala Lumpur (KL Sports City).
Fasa pertama KL Sports City yang dilaksanakan syarikat Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) menerusi anak syarikatnya, Rukun Juang Sdn Bhd (RJSB), dijangka siap sebelum Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017.
"Mereka yang layak akan ditentukan oleh kementerian serta Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB)... projek ini (rumah mampu milik) mungkin dilaksanakan dalam masa tiga atau empat tahun akan datang," katanya. – Bernama, 20 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments