Berang tiada tindakan diambil ke atas ketua-ketua bahagian Kedah, kumpulan penentang Gerakan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) memberi amaran akan mengadakan himpunan untuk membakar buku perlembagaan parti kaum Melayu itu.
Timbalan presidennya Datuk Mohd Zin Mustapa berkata hari ini mereka tidak berpuas hati dengan layanan diterima selepas memorandum dihantar semalam ditolak Umno pusat.
"Kami akan tunggu jawapan daripada pengerusi (Lembaga Disiplin). Adakah ia menepati apa yang kami tuntut.
"Kalau tidak, tindakan selanjutnya akan kami ambil sehingga kami puas hati," katanya merujuk kandungan memorandum yang dihantar GKCM kepada ibu pejabat parti semalam.
Memorandum itu menggesa tindakan diambil ke atas ketua bahagian yang mengadakan sidang media pada Rabu mendesak Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir digugurkan.
"Kemungkinan kami buat bantahan besar-besaran atau demonstrasi bakar buku perlembagaan Umno.
"Kesalahan adalah sama. Kalau buku ini tidak boleh digunakan, lebih baik kita bakar," kata Zin kepada wartawan di Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur.
Zin juga menyatakan tidak puas hati terhadap Umno pusat yang menolak permintaan mereka sedangkan sebelum ini menjatuhkan hukuman ke atas ketua cawangan yang menggesa presiden parti Datuk Seri Najib Razak berundur.
"Jawatan kami sebagai ketua dilucutkan. Sehubungan itu kami mohon tindakan sama dapat diambil ke atas mereka yang buat sidang media mengkritik Mukhriz.
"Saya juga ingin melihat ketua kumpulan itu dipecat. Tindakan mereka tidak menghormati Sultan Kedah. Adakah Umno pilih kasih?" soalnya.
Semasa menyerahkan memorandum semalam, GKCM berkata, Umno tidak boleh bersikap “double standard” (berat sebelah) dengan hanya berani menghukum ketua cawangan tetapi tidak mengambil tindakan ke atas ketua bahagian yang melanggar perlembagaan parti.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam dipetik berkata tidak akan mengambil tindakan disiplin ke atas 14 Ketua Umno Bahagian di Kedah yang mendesak Mukhriz berundur.
Alasan yang diberikan beliau ialah, kumpulan tersebut hanya meminta campur tangan Najib bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri utara tanah air tersebut. – 22 Januari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments