Bahasa

Graduan perubatan kecewa lama menunggu penempatan

Ratusan bakal doktor terpaksa mencari rezeki dalam bidang tidak berkaitan dengan jurusan perubatan, apabila kes tertangguh selama 2 tahun bagi penempatan latihan praktikal di hospital awam. – Gambar fail flickr, 15 Februari, 2016.Ratusan bakal doktor terpaksa mencari rezeki dalam bidang tidak berkaitan dengan jurusan perubatan, apabila kes tertangguh selama 2 tahun bagi penempatan latihan praktikal di hospital awam. – Gambar fail flickr, 15 Februari, 2016.Walaupun berijazah dalam bidang perubatan Oktober tahun lalu, Muhammad Faiz Hassan, 29, melakukan pelbagai kerja rencam dan terlibat dalam fotografi bagi menanggung dirinya.

Beliau adalah antara ratusan bakal doktor yang terpaksa mencari rezeki dalam bidang tidak berkaitan dengan jurusan perubatan, ekoran kes tertangguh selama 2 tahun bagi penempatan latihan praktikal di hospital awam.

"Saya dengar kami mungkin terpaksa menunggu antara 6 bulan sehingga setahun untuk penempatan," katanya yang kini memohon pekerjaan sebagai pembantu pengajar di sekolah perubatan di Cyberjaya.

Berasal dari Batu Pahat, Johor, Faiz berkata beliau tertekan selepas menerima emel daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) untuk mula melunaskan pinjaman pengajiannya dalam masa 6 bulan daripada tarikh notis.

Beliau meminjam RM150,000, jumlah maksimum yang dibenarkan PTPTN bagi menampung yuran pengajian sebanyak RM300,000.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Ashok Philips berkata, masalah itu berpunca daripada kekurangan tempat akibat pembekuan pengambilan doktor pelatih.

"Terdapat hanya 5,000 kekosongan setiap tahun di 43 hospital seluruh negara sedangkan bilangan graduan perubatan yang dihasilkan adalah sama.

"Sedangkan, kira-kira 20% pelatih mengambil masa lebih 2 tahun untuk menamatkan latihan dan menyumbang kepada kekurangan ruang penempatan," katanya.

Mastura Mukhtar, 24, dari Alor Setar, Kedah berkata ramai senior beliau terpaksa menunggu 2 atau 3 bulan sebelum mendapat panggilan untuk temuduga penempatan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

"Saya bertuah kerana ada ibu bapa yang merupakan doktor dan saya boleh membantu mereka di tempat kerja tetapi tidak semua orang mempunyai peluang sama."

Seorang graduan perubatan berusia 27 tahun yang enggan dinamakan berkata, masih belum lagi mendapat tarikh temuduga daripada SPA walaupun berijazah sejak September 2015 dan berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia pada bulan seterusnya.

Beliau dan kira-kura 100 kawannya yang lain mengalami nasib sama dan masih menunggu panggilan untuk proses temuduga.

"Perkara ini mengecewakan kerana sekurang-kurangnya jika kita dapat tarikh jangkaan temuduga, ia mampu mengurangkan kerisauan ibu bapa kami," katanya yang kini bekerja sebagai pembantu tadbir sambilan.

Dr Ashok mengakui perkara itu dan mencadangkan agar dalam jangka masa panjang, permintaan dan penawaran kursus perubatan diselaraskan.

Katanya, ia mungkin akan memaksa sesetengah kolej perubatan untuk ditutup atau bergabung dengan kolej perubatan lain.

"Berkenaan cadangan meningkatkan kemudahan kesihatan awam pula, ia penting namun kini nampaknya tiada peruntukan," katanya.

Katanya, rungutan tentang kekurangan doktor sudah jarang kedengaran sekarang ini sebaliknya perkara yang berlaku ialah kekurangan doktor pakar.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengakui kewujudan masalah ini berpunca daripada peningkatan jumlah graduan yang tidak selaras dengan jumlah penempatan doktor pelatih.

Katanya, ia terpulang kepada SPA dan JPA untuk menyelesaikannya.

Pada Disember 2015, Dr Noor Hisham yang juga pengerusi Majlis Perubatan Malaysia dilaporkan berkata graduan perlu menjalani saringan sebelum diambil bekerja sebagai pegawai perubatan.

Katanya, ia selaras dengan Seksyen 12(1)(b) Akta Perubatan 1971 yang menetapkan syarat sedemikian. – 15 Februari, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments