Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini memohon supaya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak meneruskan dengan rancangan mengurangkan potongan caruman pekerja sebanyak 3%, iaitu dari 11% kepada 8%, kecuali kepada mereka yang memilih berbuat demikian.
Setiausaha Agungnya N Gopal Kishnam berkata, KWSP harus memberi pilihan kepada pekerja yang ingin membuat pemotongan saja yang perlu mengisi borang khas KWSP 17A (Khas 2016).
"Tindakan membenarkan potongan dibuat majikan, dan pekerja perlu memohon sekiranya hendak kekal (pada 11%) dengan mengisi borang dari KWSP, adalah sesuatu yang sukar bagi semua pekerja untuk melakukannya.
"Ramai pekerja yang tidak mempunyai kebolehan mendapatkan borang dan maklumat tersebut walaupun pada hakikatnya mereka tidak bersetuju," kata Gopal dalam satu kenyataan.
Katanya, MTUC amat kesal dengan tindakan KWSP mengurangkan caruman yang dibayar pekerja sebanyak 3% susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari lalu.
"Tindakan ini sememangnya akan merugikan pekerja. Wang simpanan hari tua mereka akan berkurangan.
"Wang simpanan KWSP adalah satu-satunya sumber simpanan bagi pekerja sektor swasta menyara hidup di hari tua kerana mereka tidak menerima pencen," kata Gopal lagi.
Najib berkata, kerajaan bersetuju mengurangkan potongan caruman KWSP pekerja sebanyak 3% mulai Mac tahun ini hingga Disember 2017 bagi meningkatkan perbelanjaan penggunaan sehingga RM8 bilion setahun.
Bagaimanapun, KWSP berkata, pekerja boleh membuat pilihan mengekalkan kadar caruman syer pekerja pada 11% dengan melengkapkan Notis Pilihan Mencarum Melebihi Kadar Berkanun dan mengemukakannya kepada majikan masing-masing untuk diserahkan kepada pejabat KWSP berhampiran. – 1 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments