Bahasa

Imam perlu peka ancaman cuba cemar agama Islam, titah Sultan Selangor

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah imam di negeri itu perlu peka dengan ancaman yang cuba mencemar agama Islam serta usaha mengganggu gugat keamanan dan ketenteraman negara. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Mac, 2016.Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah imam di negeri itu perlu peka dengan ancaman yang cuba mencemar agama Islam serta usaha mengganggu gugat keamanan dan ketenteraman negara. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Mac, 2016.Imam di Selangor perlu peka dalam menghadapi ancaman yang cuba mencemar agama Islam serta usaha mengganggu gugat keamanan dan ketenteraman negara, titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda bertitah ancaman itu datang daripada umat Islam sendiri melalui beberapa pendekatan, antaranya militan Isis; fahaman pluralisme dan liberalisme; gerakan anti hadis dan golongan sesat seperti kumpulan Qadiani serta penyelewengan akidah yang dibawa melalui amalan bertarekat.

"Imam mestilah menekankan kita di Selangor ini mengamalkan ajaran Sunnah Wal Jamaah," titah baginda pada istiadat pengurniaan watikah lantikan kepada 827 imam di Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, hari ini.

Turut hadir pada istiadat itu ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Sultan Sharafuddin bertitah, melihat kepada bahayanya ancaman tersebut yang boleh meruntuh dan melemahkan pegangan akidah umat Islam, para imam perlu memainkan peranan besar dalam mendidik, mentarbiyah dan memberi kefahaman Islam kepada ahli kariah.

Baginda bertitah langkah itu dapat dilakukan dengan para imam sendiri terlibat dalam membimbing program kuliah dan pengajian di masjid masing-masing untuk memberi kesedaran kepada ahli kariah.

Sultan Selangor turut menegaskan imam mengambil serius mengenai arahan dikeluarkan Mais supaya tidak memanggil penceramah, pendakwa dan khatib yang tidak mempunyai tauliah daripada Mais.

"Beta juga menitahkan penceramah dari luar negara tidak dibenarkan sama sekali untuk menyampaikan ceramah di masjid di Selangor kecuali Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), Shah Alam, Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam dan Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang," titah baginda.

Menurut Sultan Sharafuddin, ia bagi mengelak penularan dan penyebaran fahaman serta doktrin salah yang mudah masuk dan diterima masyarakat Islam di negeri ini.

Titah baginda, masjid tempat untuk beribadat, belajar dan berbincang mengenai ilmu agama bagi meningkatkan lagi tahap keimanan serta kualiti dalam ibadat.

"Masjid bukanlah tempat untuk menyebarkan fitnah dan berita yang tidak tepat serta hasutan untuk membenci seseorang atau memboikot sesuatu. Masyarakat Islam pada zaman moden dan serba canggih ini perlu bijak dalam memilih sumber maklumat sebagai panduan dalam kehidupan," titah baginda. 

Sultan Selangor turut menasihati pegawai masjid supaya terus memelihara kemuliaan institusi masjid daripada dicemari elemen yang boleh merosakkan perpaduan dan kesatuan ummah.

"Jadikanlah masjid tempat yang paling dihormati dan asas membina masyarakat. Justeru, janganlah cuba menyalahkan pihak berkuasa jika sesuatu tindakan diambil akibat tidak mematuhi nasihat, arahan atau teguran Mais dan Jais," titah baginda. – Bernama, 8 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments