Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengalukan kritikan bersifat membina tetapi bukan pandangan ekstrem yang mahukan institusi itu dilenyapkan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata Jakim telah menyumbang kepada perkembangan Islam yang positif di negara ini namun tidak menafikan institusi itu perlu menerima kritikan untuk memperbaiki kelemahan bagi meningkatkan perkhidmatannya kepada masyarakat.
"Kita tidak pernah bersifat defensif apabila dikritik, tetapi bagi saya pandangan supaya memansuhkan (Jakim) agak ekstrem dan kalau benar apa yang dilaporkan, seolah nak kembalikan Malaysia ke zaman Jahiliyyah dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan yang memetik kenyataan anak sulung bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tawfik Ismail, yang mahu Jakim dimansuhkan kerana dilihat seolah mencampuri kehidupan peribadi rakyat negara ini.
Asyraf berkata isu itu tidak perlu dipanjangkan kerana ia tidak mewakili suara majoriti sebaliknya hanya pandangan sebilangan individu yang tidak memahami kerangka sejarah perkembangan Islam di negara ini.
"Saya rasa dalam suasana hari ini masyarakat Islam sudah mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap agama. Kita tidak boleh kembali kepada zaman di mana kita boleh sewenangnya berfoya dengan perkara yang jelas diharamkan dala Islam," tambahnya.
Beliau sebelum ini turut dilaporkan sebagai berkata tanggungjawab Jakim bukan sekadar melindungi kesucian agama Islam, malah melibatkan isu global termasuk isu Syiah dan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).
Asyraf berkata untuk itu kewujudan Jakim tidak sepatutnya dipersoalkan lagi kerana ia berperanan menyelaras hal ehwal agama Islam dan berfungsi sebagai benteng bagi menangani sebarang agenda menggugat kedudukan Islam di negara ini. – Bernama, 11 November, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments