Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam ini memuji himpunan baju merah yang berlangsung pada 16 September baru-baru ini walaupun berunsur perkauman, serta mengingatkan supaya kaum lain tidak mencarik-carik maruah kaum Melayu.
Najib mengucapkan tahniah kepada penganjur Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) kerana kejayaan menganjurkan himpunan baju merah tersebut secara aman tanpa melanggar undang-undang negara.
"Saya ucapkan tahniah pada semua berhimpun pada 16 September kerana kita berhimpun dalam keadaan aman.
"Tidak perlu khuatir kerana tidak ada sepanduk yang menghasut kaum lain, tidak ada gambar keris terbang, tidak ada gambar pemimpin pembangkang dipijak, semua ini tidak ada," katanya semasa berucap dalam Himpunan Silat Pesaka Merdeka di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur malam ini.
Najib mengingatkan keamanan dalam negara yang dikecapi selama ini adalah kerana sikap adil dan bertimbang-rasa kaum Melayu, serta memberi amaran supaya maruah orang Melayu tidak dicarik-carik.
"Kita hidup dalam sebuah negara yang semakin hari semakin aman dan semakin makmur sebab orang Melayu sentiasa bertimbang-rasa kepada orang lain, orang Melayu bersikap adil dari dulu sampai sekarang, dia adil sesamanya dan adil dengan kaum yang lain.
"Ini orang Melayu, tapi jangan carik-carik maruah orang Melayu," katanya.
Menurut Najib, himpunan pada Rabu lalu adalah isyarat semua pihak perlu hormat-menghormati antara satu sama lain.
"Sebahagian besar saudara berhimpun pada tarikh tersebut," katanya.
Katanya, himpunan itu juga membuktikan bahawa kerajaan sedia ada ini mendapat sokongan majoriti rakyat Malaysia yang dipilih secara demokrasi.
"Kerajaan ini tidak boleh ditukar dengan demonstrasi jalanan, kerajaan hari ini jangan fikir tidak ada sokongan," katanya.
Rabu lalu, Pesaka bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Melayu berhimpun dalam himpunan baju merah atau dikenali "Himpunan Rakyat Bersatu" bagi mempertahankan maruah Melayu.
Himpunan tersebut berlangsung dengan aman di Padang Merbok, bagaimanapun tercetus insiden pergaduhan dengan pihak polis di Jalan Petaling selepas terdapat sekumpulan peserta baju merah yang ingin menceroboh ke kawasan peniaga majoriti Cina itu.
Terdapat juga insiden wartawan Cina yang dimaki peserta dengan hamburan kata-kata berunsur perkauman. – 18 September, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments