Putrajaya memfailkan rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan bulan lepas yang mengisytiharkan tangkapan dan penahanan aktivis Dr Kassim Ahmad oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 2013 adalah tidak sah.
Bahagian Sivil Jabatan Peguam Negara memfailkan permohonan penangguhan itu hari ini dengan pendaftar Mahkamah Persekutuan.
The Malaysian Insider difahamkan Putrajaya menyediakan 2 soalan perundangan untuk pertimbangan mahkamah tertinggi itu supaya merit dalam rayuan permohonan itu dapat didengar.
Sementara itu, peguam Kassim, Rosli Dahlan mengesahkan salinan permohonan tersebut difakskan ke pejabatnya.
Pada 21 Disember, panel 3 hakim diketuai Hakim Vernon Ong Lam Kiat berkata, Jawi tidak mempunyai bidang kuasa ke atas Kassim yang merupakan seorang penduduk Kedah.
"Kami mengarahkan penangkapan, penahanan dan pendakwaan tersebut batal dan tidak sah," kata Ong dalam membenarkan rayuan Kassim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.
Tidak lama selepas keputusan tersebut, Kassim, 83, berkata beliau berharap Jawi akan menggugurkan dakwaan terhadapnya.
Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya berkata akan membuat keputusan pada 22 Februari sama ada Kassim patut dibebaskan daripada dakwaan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama.
Rosli mengatakan anak guamnya perlu dibebaskan atau dilepas tanpa dibebaskan kerana tidak ada penangguhan terpakai dalam keputusan Mahkamah Rayuan.
Kassim mencabar tindakan Jawi yang menangkapnya di negeri yang di luar bidang kuasanya, mengatakan mereka bertindak secara tidak sah, tidak berperlembagaan dan melampaui bidang kuasa.
Selain Jawi, beliau juga menamakan menteri bertanggungjawab hal ehwal Islam Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan ketua pendakwa syariah Wilayah Persekutuan ketika itu, Ibrahim Deris serta kerajaan.
Beliau dikatakan menghina Islam ketika membuat pembentangan di sebuah seminar yang dirasmikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kassim mempunyai pandangan kritikal terhadap beberapa hadis dan menuduh beberapa ulama di Malaysia mengamalkan “kasta paderi”.
Kassim ditangkap pada 26 Mac, 2013 oleh pegawai Jawi yang juga menggeledah rumahnya di Kulim, Kedah.
Beliau diterbangkan dengan penerbangan AirAsia dari Pulau Pinang ke Sepang, Selangor sebelum didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di Putrajaya.
Dalam memfailkan semakan semula kehakiman terhadap Jawi, beliau memohon supaya keputusan ketua pendakwa itu pada 27 Mac, 2013 untuk mendakwanya kerana menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama dibatalkan. – 20 Januari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments