Bahasa

Hormat Muhyiddin, beliau masih orang nombor dua dalam Umno, kata MB Johor

Barisan Kabinet baharu diharap mampu selesaikan masalah dihadapi negara, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Julai, 2015.Barisan Kabinet baharu diharap mampu selesaikan masalah dihadapi negara, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Julai, 2015.Umno bahagian di Johor boleh menjemput Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan mesyuarat mereka kerana beliau masih memegang jawatan itu walaupun tidak lagi menjadi timbalan perdana menteri, kata menteri besarnya.

Datuk Mohamed Khaled Nordin mengingatkan ahli Umno agar terus menghormati Muhyiddin sebagai orang nombor dua dalam parti walaupun tidak lagi menganggotai Kabinet, menyatakan ia merupakan prerogatif perdana menteri untuk menggugurkan timbalannya.

"Semasa perdana menteri datang ke Johor pada 15 Mei 2015 yang lepas, Perhubungan Umno Johor membuat keputusan perdana menteri perlu diberi kekuatan untuk menyelesaikan segala isu dan masalah yang dihadapi, khususnya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB)," Khaled berkata dalam satu kenyataan.

"Oleh itu, jika soal untuk mempunyai kekuatan itu termasuk rombakan dilakukan terhadap barisan Kabinet, dan termasuk terpaksa menggugurkan Muhyiddin, kita menerima ketetapan itu, lebih-lebih lagi kerana kita sedar ia adalah hak dan budi bicara perdana menteri.

"Kita mendoakan barisan Kabinet yang baharu dibentuk ini mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi negara, sebagaimana keyakinan perdana menteri untuk menyelesaikannya dalam masa yang munasabah," Khaled berkata.

Beliau juga berharap rakyat Johor, terutamanya ahli Umno, akan bersabar melalui tempoh ini dan menghormati kedudukan Muhyiddin sebagai orang nombor dua berkuasa dalam parti.

" Di Johor, saya tiada sebarang halangan bagi mana-mana bahagian yang sudah dan ingin menjemput beliau merasmikan mesyuarat Umno bahagian masing-masing.

"Saya berharap rakyat dan ahli Umno khususnya daripada Johor dapat bersabar dan melalui saat-saat ini dengan penuh kesabaran dan kekuatan," katanya.

Rombakan Kabinet semalam menyaksikan Muhyiddin digugurkan sebagai timbalan perdana menteri dan digantikan dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang akan terus memegang portfolio menteri dalam negeri beliau.

Muhyiddin, 68, juga kehilangan portfolio beliau di Kementerian Pendidikan.

Rombakan itu juga menyaksikan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed dinaikkan pangkat kepada timbalan menteri dalam negeri, begitu juga tiga anggota PAC lain – satu langkah yang menyebabkan siasatan jawatankuasa itu terhadap 1MDB ditangguhkan sehingga anggota baharu dilantik pada sesi Parlimen akan datang.

Muhyiddin sebelum ini secara terbuka mengkritik cara perdana menteri mengendalikan 1MDB dan hutangnya yang mencecah RM42 bilion.

Pada mesyuarat Umno bahagian Cheras, di Kuala Lumpur Ahad lalu, beliau juga berkata Najib perlu menjelaskan dakwaan The Wall Street Journal yang lebih AS$700 juta (RM2.67 bilion) daripada entiti berkaitan 1MDB disalurkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri.

1MDB amat sensitif bagi kerajaan, memandangkan Najib merupakan pengerusi lembaga penasihatnya dan juga mengetuai Kementerian Kewangan, yang memiliki syarikat pelaburan strategik negara itu.– 28 Julai, 2015.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments