Sesiapa yang berminat membawa perubahan kepada negara perlu terlebih dulu memberi tumpuan kepada menyingkirkan kepimpinan sedia ada, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini sebagai respons kepada seorang pemimpin masyarakat awam yang berkata, tumpuan harus diberikan kepada pembaharuan institusi kerajaan.
Negarawan bersara itu mengakui, yang penting bagi beliau hanya untuk menurunkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan tugas mengubah sistem seharusnya diserahkan kepada pemimpin seterusnya.
"Setakat yang saya tahu, saya fikir, melainkan jika kepimpinan berubah, janganlah mengharapkan perubahan," kata Dr Mahathir pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan aktivis sosial Datuk Ambiga Sreenevasan yang bersedia bekerjasama dengan bekas perdana menteri itu jika beliau bersetuju mengubah sistem kerajaan negara ini, dan bukannya memberi tumpuan semata-mata kepada penyingkiran Najib.
Pada Isnin, Ambiga berkata, masyarakat sivil tidak sepatutnya bersetuju dengan agenda yang memberi tumpuan hanya kepada "menggantikan seorang individu".
"Saya amat mengambil berat tentang... perubahan dalam kepimpinan. Tetapi apa sahaja yang datang selepas itu, terpulang kepada pemimpin untuk membuat keputusan," kata Dr Mahathir.
"Keutamaan saya ialah untuk memastikan Najib berundur, sebab itu saya menyertai demonstrasi (perhimpunan Bersih 4). Mengenai perkara lain, terpulang kepada majoriti membuat keputusan."
Najib dikritik hebat berhubung wang RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun peribadi beliau, sumbangan penderma dari Timur Tengah yang tidak dinamakan, menjelang pilihan raya umum 2013.
Begitu juga kontroversi di sekitar syarikat yang diilhamkannya, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang mendorong pengkritik Najib, diketuai Dr Mahathir, menggesa beliau meletak jawatan.
Perdana menteri paling lama berkhidmat itu menghadiri perhimpunan Bersih 4 pada bulan Ogos, menyatakan beliau tidak menyokong desakan kumpulan reformasi pilihan raya untuk perubahan institusi, tetapi berada di sana kerana mahu Najib berundur.
Pada perhimpunan tersebut, Dr Mahathir bercakap mengenai Najib yang didakwa mengambil dana awam, yang mengakibatkan beliau disoal siasat polis Jumaat lalu kerana melakukan kesalahan fitnah. – 11 November, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments