Bahasa

Kazim Elias stabil selepas jalani rawatan angiogram ke-2 di KPJ Ipoh

Abang kepada Datuk Mohd Kazim Elias, Datuk Mohd Najmuddin Elias berkata rawatan angiogram dilakukan susulan nasihat doktor pakar kerana saluran ke-2 jantung Kazim sudah 99% tertutup dan saluran ke-3 pula tertutup 50%. – Gambar dari Facebook, 25 Februari, 2016.Abang kepada Datuk Mohd Kazim Elias, Datuk Mohd Najmuddin Elias berkata rawatan angiogram dilakukan susulan nasihat doktor pakar kerana saluran ke-2 jantung Kazim sudah 99% tertutup dan saluran ke-3 pula tertutup 50%. – Gambar dari Facebook, 25 Februari, 2016.Pendakwah Datuk Mohd Kazim Elias kini berada dalam keadaan stabil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pakar KPJ di Ipoh, selepas menjalani rawatan angiogram ke-2 semalam.

Abangnya Datuk Mohd Najmuddin Elias berkata rawatan itu dilakukan susulan nasihat doktor pakar kerana saluran ke-2 jantung Kazim sudah 99% tertutup dan saluran ke-3 pula tertutup 50%.

"Pada mulanya, sebagai ketua keluarga, saya tidak bersetuju rawatan itu dilakukan kerana keadaan adik saya agak kritikal kerana baru sahaja menjalani rawatan angiogram pertama di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

"Doktor pakar di HUSM memberitahu rawatan angigoram ke-2 boleh dibuat selepas 6 minggu namun, melihatkan keadaan adik saya, doktor di sini sarankan rawatan itu dijalankan segera bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku," katanya kepada pemberita di hospital itu hari ini.

Beliau berkata rawatan angiogram kedua itu dilakukan pada 5 petang tadi dan sejam kemudian Kazim ditempatkan di wad ICU.

Kazim dimasukkan ke HUSM selepas mengadu penat dan sakit dada ketika sedang berceramah di perkarangan bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan Sri Gunong, Bator, Bachok kira-kira 9.30 malam Jumaat lepas.

Sehubungan itu, Mohd Najmuddin yang juga Pegawai Penerangan Hal Ehwal Agama Islam Pejabat Menteri Besar Perak meminta mereka yang mengenali Kazim supaya tidak menziarahinya buat sementara waktu bagi membolehkannya menjalani rawatan dan pemulihan secukupnya.

"Doktor juga memaklumkan Kazim tidak boleh membaca surat khabar kerana apabila baca, pemikirannya akan mengganggu kesihatan, apatah lagi kalau kita datang untuk berbual atau bertanya menyebabkan fikirannya terganggu dan tempoh untuk sembuh akan memakan masa," katanya.

Menurutnya Kazim mengalami masalah jantung berikutan sakit kencing manis, yang dialaminya sejak 10 tahun lepas, agak teruk selain sering meluangkan masa dengan ramai orang.

"Beliau banyak menerima udangan untuk berceramah termasuk di Singapura, Brunei, Thailand dan Australia tanpa mengira hal kesihatannya dan sumbangan yang diterimanya digunakan untuk Pusat Islam Al-Barakah yang dikendalinya.                    

"Tarikh dia berceramah di Sabah baru-baru ini, waktu itu adalah tarikh temu janjinya dengan doktor untuk pemeriksaan kencing manis tetapi dia tidak mahu menangguhkan program walaupun ketika itu beliau telah merasai simptom penyakit itu," katanya.

Berikutan keadaan adiknya itu, Najmuddin berkata beliau akan menggantikan tempat Kazim buat sementara waktu.

"Saya bersetuju untuk menggantikan beliau pada program ceramah yang dipersetujui. Saya berhajat membantu adik saya kerana semua sagu hati dari orang ramai dan penganjur akan disumbangkan kepada Pusat Islam Al-Barakah," katanya. – Bernama, 25 Februari, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments