Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan permohonan pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Azmi Sharom mencabar keperlembagaan Akta Hasutan 1948 ke Mahkamah Tinggi dan menangguhkan kes sehingga ke 7 November.
Hakim Zainol Rashid Hussain bersetuju wujud isu perlembagaan dalam Seksyen 4 Akta Hasutan yang perlu diputuskan Mahkamah Tinggi.
Peguam mewakili Azmi, Gobind Singh Deo, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, ini merupakan kali pertama Mahkamah Tinggi meneliti Akta Hasutan mengikut perlembagaan atas alasan undang-undang itu tidak digubal dalam Parlimen.
"Hakim setuju dengan permohonan kami dan Mahkamah Tinggi akan menentukan sama ada ia mengikut perlembagaan sebelum diputuskan," katanya.
Azmi pada 17 September lalu memfailkan permohonan menyemak semula Seksyen 4(1) Akta Hasutan yang menurutnya tidak mengikut Perlembagaan dan mencabuli Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan bersuara.
Gobind mempertikaikan Artikel 10 (2) yang menyatakan hanya Parlimen boleh melaksanakan sekatan ke atas hak mengikut Artikel 10.
Katanya, Ordinan Hasutan digubal pada 1948 sebelum tarikh kemerdekaan dan tidak diluluskan dalam Parlimen.
Pada 2 September, Azmi didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c) kerana kenyataannya melalui laporan sebuah portal berita.
Jika didapati bersalah mengikut mana-mana satu pertuduhan, dia boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga 3 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Gobind berkata, hakim mengosongkan tarikh itu yang pada awalnya ditetapkan untuk pengurusan kes hasutan Azmi.
"Kesnya ditetapkan pada 7 November bagi memberi ruang Mahkamah Tinggi buat keputusan.
"Buat masa sekarang prosedurnya adalah pendaftar mahkamah ini perlu menulis surat kepada Mahkamah Tinggi memaklumkan berlakunya persoalan perlembagaan yang mesti diputuskan.
"Kami akan tunggu maklum balas daripada mahkamah tinggi tentang penetapan tarikh," katanya.
Bulan lalu, Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor, Mat Shuhaimi Shafiei, juga mengemukakan permohonan mencabar akta itu atas alasan sama.
Hari ini, profesor undang-undang Dr Abdul Aziz Bari juga disoal siasat polis mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 kerana menyatakan pandangan tentang kuasa Sultan Selangor melantik MB.
Bulan lepas, aktivis Safwan Anang dan Adam Adli Abdul Halim masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 dan 12 bulan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan semasa forum 13 Mei tahun lalu.
Aktivis Ali Abdul Jalil pula menghadapi tiga pertuduhan kerana menghina kerabat Johor dan Sultan Selangor dalam Facebook.
Beliau dibebaskan dengan ikat jamin selepas ditahan lebih 20 hari.
Jumaat lalu, Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim diambil keterangannya ekoran laporan polis pada 2011 selepas dikatakan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan mengenai kes liwatnya.
Pada 20 September, polis mengambil keterangan peguam Edmund Bon yang disiasat kerana menghasut apabila menyentuh isu bukan Islam tidak tertakluk kepada fatwa dan mahkamah Syariah.
Penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin juga didakwa pada 10 September kerana tulisannya dalam Facebook memperkecilkan peranan Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam negeri.
Pada 4 September, wartawan Susan Loone ditahan di Pulau Pinang kerana melaporkan berita tentang temuramahnya dengan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh serta isu tahanan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) semasa sambutan Hari Kemerdekaan.
Ahli politik lain yang masih dalam kes mahkamah dibawah akta sama adalah Surendran, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Tian Chua (Batu), Khalid Samad (Shah Alam), dan Adun Seri Delima, RSN Rayer. – 1 Oktober, 2014.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments