Lebihan wang yang Imanina (bukan nama sebenar) dapat simpan untuk pendidikan anaknya kini akan digunakan bagi menampung tambang pengangkutan awam Express Rail Link (ERL) dan Komuter untuk ke tempat kerja.
Penjawat awam berumur 38 tahun itu berkata, kenaikan tambang ERL bermula bulan depan akan menjejaskan perbelanjaan bulanannya kerana beliau menggunakan ERL dari Stesen Salak Tinggi sebelum bertukar ke Transit Aliran Ringan (LRT) untuk ke PWTC.
“Saya membelanjakan kira-kia RM600 setiap bulan untuk ke tempat kerja menggunakan pengangkutan awam, sekarang dengan kenaikan tambang ERL, perbelanjaan saya akan menjadi di antara RM800 dan RM900.
“Untuk ERL saja, saya membelanjakan kira-kira RM16 sehari tetapi selepas ini ia akan jadi RM25. Perbezaan hampir RM10 setiap hari, tetapi jika anda darab kos bulanan atau tahunan, wang yang seharusnya disimpan untuk pendidikan anak saya sekarang digunakan untuk menampung kenaikan.
“Lebih baik wang itu dibelanjakan untuk pendidikan anak saya berbanding kos pengangkutan,” katanya kepada The Malaysian Insider, ketika ditemui dalam perjalanan pulangnya dari tempat kerja.
Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) pada Isnin mengumumkan tambang perjalanan sehala antara KL Sentral dan KLIA/klia2 akan naik RM20 kepada RM55 mulai 1 Januari tahun depan.
Pengumuman itu dibuat ketika laporan mengenai kemungkinan kenaikan kadar tol lebuh raya PLUS pada tahun depan berlaku, 2 bulan selepas kadar tol 12 lebuh raya di Lembah Klang dilaksanakan baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan berasingan semalam, ERL mempertahankan kenaikan 57% kadar tambangnya dengan berkata, kelulusan tambang baharu ialah RM64 tetapi syarikat sebaliknya memilih menawarkan perkhidmatan pada kadar diskaun RM55.
Bagi kereta api laju itu, diskaun sehingga 20% disediakan apabila menggunakan kad kredit tertentu, dan ERL sedang dalam perbincangan untuk menambah lagi senarai itu.
Pengguna kad Touch ‘n Go akan jimat 10% sepanjang tempoh promosi dan penumpang juga boleh berjimat RM10 menerusi pembelian tiket apergi balik antara KL Sentral dan lapangan terbang.
Imanina berkata orang sepertinya yang memilih untuk tinggal di luar Lembah Klang bergantung pada pengangkutan awam, dan peningkatan kadar tambang akan membebankan kumpulan pekerja.
“Jika anda naik kereta api pada awal pagi, anda akan lihat yang menggunakannya ialah pekerja pembersihan. Berapa banyak yang mereka dapat? Peningkatan ini sudah tentu akan menjejaskan mereka yang berpendapatan rendah,” katanya dan menambah tambang teksi dari KL Sentral ke PWTC juga naik sekurang-kurangnya 41%.
“Sekarang ini, kalau anda dapat RM4,000 pun masih belum cukup jika anda ada anak.”
Heidzir Jamaraji, 37, pengguna kerap ERL dari Putrajaya ke KL Sentral, peningkatan tambang itu bermakna beliau mungkin perlu mendapatkan lebihan RM186 sebulan untuk mencukupkan perjalanan hariannya dari rumah di Putrajaya ke tempat kerja di Damansara, pergi dan balik.
Katanya, selepas mengira kos keseluruhan, beliau mungkin perlu menukar bentuk pengangkutan kerana belian akan membelanjakan kira-kira RM1,276 sebulan bermula bulan depan.
“Saya akan terpaksa guna kenderaan sendiri kerana kos bulanan untuk menggunakan pengangkutan awam lebih mahal dan nampaknya pengangkutan awam di Malaysia tidak banyak membantu meringankan beban rakyat,” kata Heidzir.
Anne Chin, 24, dari Segambut Dalam berkata peningkatan tambang ERL sudah pasti membebankan golongan muda sepertinya yang baru saja mula bekerja.
“Pada masa ini, saya belanja RM180 untuk ERL saja, kerana tambang sekarang pun sudah sedia mahal,” katanya yang bekerja sebagai pelatih IT di Putrajaya.
“Selepas peningkatan tambang, perbelanjaan keseluruhan saya untuk ke tempat kerja akan jadi RM400, kerana saya juga guna KTM dan bas.
“Bagi lepasan ijazah seperti saya, sukar untuk bebas daripada masalah kewangan, dan tidak mungkin kami mampu memiliki rumah dan kereta sendiri pada masa terdekat,” katanya. – 3 Disember, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments