Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) negara dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2015 meningkat kepada 2.65 berbanding 2.62 pada 2014.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata calon yang memperolehi PNGK 4.00 pada STPM 2015 pula mengalami sedikit penurunan 0.11% iaitu 0.80% atau 335 orang berbanding 0.91% (390 calon) dalam peperiksaan STPM 2014.
Peratusan calon STPM 2015 yang mendapat PNGK 3.50 ke atas pula meningkat kepada 11.22% atau 4,711 calon berbanding 10% atau 4,285 pada tahun lalu, katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2015 hari ini.
Mustafa berkata peratusan calon yang mendapat PNGK 3.00 ke atas, PNGK 2.50 ke atas, PNGK 2.00 ke atas dan lulus penuh dalam 5 atau 4 mata pelajaran juga menunjukkan peningkatan dalam STPM 2015.
"Keputusan sebegini memberi peluang yang lebih baik kepada pelajar untuk memohon memasuki universiti di dalam dan luar negara kerana lebih ramai calon yang mendapat PNGK yang baik iaitu 2.50 ke atas berbanding pada 2014," katanya.
Beliau berkata peningkatan peratusan lulus sebanyak 1.91% dalam 5 dan 4 mata pelajaran juga memberikan gambaran pencapaian calon Tingkatan 6 di sekolah kerajaan kini semakin baik, hasil daripada transformasi Tingkatan 6 yang diusahakan Kementerian Pendidikan.
Katanya peratusan keseluruhan pencapaian lulus penuh calon dalam satu hingga 5 mata pelajaran didapati menurun sedikit, iaitu daripada 97.81% atau 41,915 calon kepada 97.64% atau 40,995 calon pada STPM 2015, penurunan sebanyak 0.17% yang boleh dianggap tidak signifikan.
"Penurunan ini adalah disebabkan penurunan pencapaian calon yang mengambil satu hingga 3 mata pelajaran yang kebanyankannya calon swasta dan persendirian individu," katanya
Mustafa berkata dalam peperiksaan STPM 2015, seramai 10 calon mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil, sama seperti 2014.
Manakala calon yang mengambil 5 mata pelajaran tetapi mendapat 4A dalam mata pelajaran yang diambil didapati bertambah daripada 14 kepada 27 calon.
Katanya berdasarkan prestasi lulus penuh mengikut mata pelajaran, semua 22 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2015 mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 60% , iaitu gred C dan ke atas sama seperti pada STPM 2014.
"Dalam peperiksaan STPM 2015, 4 mata pelajaran menunjukkan peningkatan melebihi 3.00% dalam prestasi lulus penuh berbanding dengan prestasi pada STPM 2014, iaitu mata pelajaran Bahasa Cina, Literature in English, Sejarah dan Ekonomi," katanya.
Bagaimanapun, Mustafa berkata 2 mata pelajaran iaitu mata pelajaran Information dan Communication Technology dan Bahasa Arab menunjukkan penurunan prestasi lulus penuh dalam peperiksaan STPM 2015 berbanding pada peperiksaan tahun sebelumnya.
"Manakala 16 mata pelajaran lain selain daripada mata pelajaran yang disebut di atas tidak berubah prestasinya," katanya. – Bernama, 2 Mac, 2016
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments