Bahasa

Kerajaan tiada rancangan semak semula kadar GST

Sebelum GST dilaksanakan, kerajaan melakukan kajian terperinci dibuat dan kadar 6% adalah bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa. – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 Mac, 2016.Sebelum GST dilaksanakan, kerajaan melakukan kajian terperinci dibuat dan kadar 6% adalah bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa. – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 Mac, 2016.Kerajaan tidak bercadang mengkaji semula kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) memandangkan kadar 6% yang ditetapkan adalah munasabah, persidangan Dewan Rakyat diberitahu.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani berkata sebelum GST dilaksanakan, kajian terperinci dibuat bagi memastikan kadarnya paling sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.

"Ia mengambil kira kedudukan kadar cukai sebelum GST iaitu 10% bagi barangan dan 6% bagi perkhidmatan.

"Di samping itu pelbagai faktor lain termasuk komposisi sumbangan hasil sektor tertentu, beban cukai ke atas pengguna, struktur cukai pendapatan dan pakej bantuan kepada pengguna dan perniagaan diambil kira selaras objektif untuk mewujudkan sistem percukaian yang berdaya saing," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur hari ini.

Johari menjawab soalan Wong Tien Fatt@Wong Nyuk Foh (DAP-Sandakan) yang bertanya sama ada kerajaan akan menimbang untuk menyemak semula kadar GST memandangkan pendapatan kerajaan semakin menurun akibat kejatuhan harga minyak antarabangsa.

Mengenai cadangan Wong agar kerajaan menurunkan kadar GST bagi Sabah memandangkan penduduk membayar kadar harga barangan lebih tinggi berbanding di Semenanjung, Johari berkata kadar semasa masih sesuai.

"Ini kerana banyak keperluan yang tidak dikenakan GST (sifar GST) seperti barangan makanan asas, ternakan seperti ayam dan daging, produk pertanian, makanan laut serta pengangkutan awam, perumahan dan pendidikan.

"Kerajaan juga sentiasa menambah kemudahan bantuan seperti Kedai Rakyat 1Malaysia dan bantuan terus seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hasil daripada kutipan GST," katanya.

GST mula dikuatkuasakan di negara ini mulai 1 April 2015, pada kadar 6% menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan pada kadar 16%. – Bernama, 10 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments